Buletin

BAIDU PILIH GEELY SEBAGAI RAKAN STRATEGIK UNTUK HASILKAN EV

Industri teknologi dilihat semakin berminat untuk turut serta dalam pasaran automotif.

Selepas Apple dilapor menjalin kerjasama dengan Hyundai untuk menghasilkan kereta elektrik (EV) berautonomi, kini giliran Baidu pula mengambil langkah sama.

Enjin carian internet terbesar China itu dikatakan memilih Geely Auto sebagai rakan strategik untuk membangunkan EV mereka sendiri. Geely akan mengendalikan aspek pengilangan, manakala Baidu bertanggungjawab dari segi perisian serta teknologinya.

Sebelum ini, Baidu telah melancarkan perkhidmatan teksi berautonomi di Beijing. Kenderaan tersebut dikuasakan oleh projek perisian yang dikenali sebagai Apollo. Besar kemungkinan Apollo akan dipasang pada kereta baharu berkenaan.

Walaupun tidak banyak perincian tentang Apollo didedahkan, teknologi itu sudah dilesenkan kepada beberapa pengeluar kenderaan lain termasuklah Volkswagen dan Toyota.

Sama seperti Google, Baidu telah melabur secara agresif ke dalam teknologi-teknologi yang akhirnya boleh digunakan ke atas industri automotif. Ia merangkumi perisian navigasi, bantuan digital dan pemanduan bebas tangan.

Baidu Maps kini merupakan salah satu penyelesaian navigasi paling popular di China. Ia ditawarkan untuk peranti Android tanpa dikenakan sebarang kos.

Baidu tidak memberitahu bilakah EV pertamanya akan dikeluarkan. Namun, ia menyifatkan projek baharu itu sebagai satu langkah semula jadi berdasarkan kepada trend pasaran

“China menjadi pasaran EV paling besar di dunia. Kami melihat pengguna EV mahukan kenderaan generasi baharu yang lebih pintar,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Baidu, Robin Li.

Sebelum ini, Baidu pernah meneroka projek EV dengan beberapa pengeluar lain termasuklah GAC dan FAW.


Google ads
Back to top button