TAK PUAS HATI KENA SAMAN, LELAKI TUNGGANG YAMAHA NVX BUAT AKSI WHEELIE
Seorang penunggang motosikal ditahan kerana melakukan aksi wheelie selepas diminta pulang ke rumah oleh pihak polis yang menjalankan rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam kejadian jam 6.30 petang di Taman Seri Utama Gurun, Kedah itu, suspek dikatakan menaiki Yamaha NVX bersama seorang lagi rakannya. Dia dikenakan saman kerana menggunakan plat nombor tidak mengikut spesifikasi.
Manakala rakannya yang menaiki sebuah motosikal berasingan pula disaman kerana tidak mempunyai nombor plat.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim, anggota polis kemudian mengarahkan mereka beredar. Namun, suspek yang tidak berpuas hati sebaliknya melakukan aksi wheelie.
Tidak memakai topi keledar, tindakan itu sememangnya mengundang bahaya. Polis kemudian mengikutinya hingga ke hadapan rumah, sebelum menahan suspek pada jam 6.50 petang.
Lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Polis Gurun untuk siasatan lanjut. Dia sepatutnya berada di dalam rumah sepanjang tempoh PKP dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan (7)(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” kata Chuah. – Harian Metro