
BATIK AIR, KIA JALIN KERJASAMA SEDIA PERKHIDMATAN PINDAH TERMINAL
Batik Air hari ini telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan pengeluar automotif Korea Selatan, Kia bagi perkhidmatan pindah terminal persendirian baharu, khusus penumpang kelas perniagaan.
Menurut Batik Air, perkhidmatan berkenaan berupaya meningkatkan pengalaman perjalanan bagi penumpang Promo Kelas Perniagaan dan Flexi menerusi pemindahan secara lancar dan premium antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menerusi kerjasama dengan pengedar tunggal, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, Batik Air menawarkan penumpang kelas perniagaan dengan pilihan pemindahan yang selesa dan mesra alam.

Perkhidmatan bagi pengangkutan penumpang antara lokasi pengambilan di Pintu G1 Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit adalah sebagai tambahan kepada kaedah menggunakan bas disediakan oleh Malaysia Airports (MAHB) berikutan penggantungan sementara perkhidmatan aerotrain.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kia Asia Pasifik, Kevin Ahn, menyifatkan kerjasama dengan Batik Air itu seiring dengan visi korporat Kia – Pelan S serta komitmen berkaitan neutral karbon menjelang 2045.
Visi itu menyentuh usaha Kia menjadi peneraju dalam mobiliti lestari dan melangkaui aspek penyediaan sistem pemanduan kenderaan elektrik dengan pelepasan sifar karbon.

Dalam perkembangan berasingan, Batik Air turut melancarkan penambahbaikan terbaharu perkhidmatan dalam pesawat dengan memperkenalkan Wireless In-Flight Entertainment (WirelessIFE) atau Hiburan Tanpa Wayar Dalam Pesawat.
Perkhidmatan terbaharu ini menyokong usaha syarikat penerbangan itu menerusi Bring Your Own Device (BYOD) untuk sambungan mudah dalam pesawat Wireless-IFE menerusi telefon pintar, tablet atau komputer riba penumpang.
- BACA: JUALAN TIKET TOKYO AUTO SALON KUALA LUMPUR KINI DIBUKA – HARGA SERENDAH RM50, VIP PASS RM150 SEHARI
- BACA: MERCEDES-BENZ GLB-CLASS 2024 TIBA DALAM DUA VARIAN – HARGA BERMULA RM290K
- BACA: JETOUR TRAVELLER SILVER DRAGON WING DILANCARKAN DI CHINA – 254HP, HARGA BERMULA RM142K
- BACA: TERKINI: CFMOTO 500SR VOOM SAH MASUK MALAYSIA – ENJIN 4-SILINDER, 78HP