
PENGEDAR NISSAN DITIPU PEKERJA SENDIRI LEBIH RM6 JUTA
Pengedar Pine Belt Nissan mungkin telah ditipu lebih satu juta dolar oleh salah seorang bekas pekerjanya. Martin D’Amato berjaya ditangkap pada 19 September lalu dan didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram serta mencuri, menurut Pejabat Pendakwa Daerah Ocean, New Jersey.
Nissan mula menyedari salah laku tersebut selepas dihubungi oleh pengedar itu yang terletak di Toms River, New Jersey, mengenai skim bil.
Nissan melaporkan bahawa D’Amato bertanggungjawab ke atas pengiklanan digital untuk pengedar itu. Dia diberi kuasa untuk mengupah syarikat pengiklanan dan pemasaran untuk membantu kempen promosi.

Skuad Jenayah Ekonomi Pejabat Pendakwa Daerah Ocean mendakwa D’Amato menggunakan kedudukannya untuk mengisi poketnya sendiri dengan mewujudkan beberapa syarikat liabiliti terhad yang berada di bawah kawalannya.
Pendakwa raya mendakwa dia mengenakan bayaran ke atas Pine Belt Nissan untuk perkhidmatan yang tidak pernah diberikan. Selain menyediakan perkhidmatan pengiklanan dan pemasaran seolah-olah ia adalah sah.
Secara keseluruhannya, D’Amato dituduh menyalahgunakan AS$1.3 juta (RM6 juta) melalui syarikat palsu. Dia juga menggunakan perkhidmatan pemprosesan pembayaran dalam talian untuk menyembunyikan hubungannya dengan syarikat liabiliti terhad.
Siasatan dimulakan selepas semakan dalaman di Pine Belt Nissan mendedahkan kad kredit syarikat melebihi jumlah bajet. Selepas ditangkap pada 19 September 2022, Detektif dari Pejabat Pendakwa Daerah Ocean membawa D’Amato ke Penjara Ocean County untuk menunggu perbicaraan.