
KENAPA ENJIN V4 TIDAK DIGUNAKAN PADA KERETA BIASA?
Enjin susunan V ialah enjin dengan susunan silinder dibuat dalam huruf V antara 2 blok enjin yang dicantumkan pada satu aci engkol. Susunan V ini boleh ditetapkan antara 120 darjah sehingga kepada 15 darjah seperti yang digunakan ada enjin VR6 dihasilkan oleh kumpulan Volkswagen.
Antara susunan silinder yang biasa digunakan ialah V6, V8, V10 dan juga V12. Namun terdapay juga enjin yang menggunakan 4 silinder disusun dalam huruf V dinamakan sebagai V4 yang banyak digunakan oleh motosikal berkuasa tinggi.
Ada juga pengeluar kenderaan yang menghasilkan enjin V4 seperti Saab, Lancia dan juga Ford satu ketika dulu tapi tidak lagi digunakan pada hari ini. Porsche juga pernah menggunakan enjin V4 pada jentera perlumbaan mereka iaitu model 919 hibrid LMP1 bagi perlumbaan Le Mans.
Dalam video di bawah Mike Fernie menerangkan antara kelebihan enjin V4 termasuklah saiznya yang kompak, pendek dan lebih lebar sedikit berbanding dengan enjin 4 sililnder sebaris. Saiznya yang kecil membolehkan ia direka dengan ketegaran yang tinggi sangat sesuai sebagai stress member bagi menguatkan cesi kenderaan bagi jentera perlumbaan

Sesetengah enjin V4 lama tidak disukai kerana enjin V4 tidak harmoni dan tidak seimbang, namun enjin V4 moden yang dihasilkan menggunakan kaedah aci engkol yang pendek bagi mengurangkan masalah gegaran. Dalam sesetengah keadaan, jika sudut pada silinder ditetapkan pada 90 darjah daya yang dihasilkan oleh piston akan diseimbangkan oleh piston dari blok enjin yang bertentangan
Keadaan ini menghasilkan operasi enjin yang sangat lancar. Namun berbeza dengan enjin 4 silinder sebaris, enjin V4 adalah sangat kompleks dan memerlukan kos yang tinggi untuk dihasilkan. Ia memerlukan 2 kepala silinder, 2 aci sesondol, 2 sistem ekzos dan 2 sistem pacuan injap.
Sebab itulah Lancia menyelesaikan masalah ini dengan menggunakan sudut 12 darjah sahaja, menggunakan hanya 1 kepala silinder tapi menghasilkan gegaran yang teruk. Masalah gegaran tadi akan diselesaikan dengan menggunakan aci pengimbang yang menjadikan enjin lebih kompleks.
Sebab itulah enjin V4 tidak digunakan oleh pengeluar kenderaan kecuali bagi jentera perlumbaan. Bagi motosikal berkuasa tinggi seperti Ducati V4 Panigale, aspek enjin yang kompleks ini tidak menjadi isu yang besar kerana faktor ruang enjin yang terhad dan kuasa enjin yang besar diperlukan.

Bagi Porsche 919 hybrid LMP1, enjin V4 adalah enjin yang terbaik disebabkan saiznya yang kecil, ketegaran enjin yang tinggi bagi menyokong cesi, dan penggunaan bahan api yang bagus. Semakin kurang berhenti untuk mengisi petrol, semakin kurang masa terbuang di pitstop.
Enjin V4 juga merupakan pilihan yang bagus bagi membolehkan jurutera meletakkan sistem hibrid di sekitar enjin selain Porsche memiliki bajet kewangan yang cukup besar untuk menyokong aktiviti perlumbaan.