Buletin

BENTLEY BENTAYGA EWB AZURE 2023. AIRLINES SEAT, 542HP/770NM, BERMULA RM1.01 JUTA

Bentley Kuala Lumpur hari ini melancarkan Bentayga Extended Wheelbase (EWB) Azure ke pasaran Malaysia buat pertama kalinya. Pengenalan rangkaian model Azure itu pasti memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan.  

Bentayga EWB Azure dibina di atas Bentayga generasi kedua denga jarak roda dan ruang kabin 180mm lebih panjang. Ini membuatkan jarak rodanya kini menjadi 3,175mm dengan panjang keseluruhan mencecah 5,322mm. 

Tambahan jarak itu dibuat pada pintu belakang, sekali gus dapat menawarkan ruang tempat duduk yang lebih mewah. Ia hadir dengan tempat duduk belakang yang dikenali sebagai Bentley Airlines Seat paling canggih di dunia yang lengkap bersama tetapan 22 cara, sistem pengesan suhu dan teknologi ubah suai postur.

SUV itu dimewahkan dengan penggunaan material premium pada setiap inci ruang kabinnya. Ini termasuklah sistem pencahayaan pada trim pintu Bentley Diamond Illumination, serta 24 bilion kombinasi kemasan yang boleh dipilih oleh pemiliknya. 

Walaupun lebih panjang, pemanduan dinamik tidak diabaikan kerana SUV itu dipasang dengan sistem stereng semua roda elektronik. Jadi, Bentayga EWB Azure mampu menawarkan nisbah pusingan tujuh peratus lebih pendek atau 11.8 meter berbanding Bentayga standard. 

Penggunaan sistem suspensi Dynamic Ride pula menjanjikan perjalanan yang sangat selesa kepada sesiapa sahaja. 

Sistem itu berfungsi menstabilkan kabin ketika mengambil selekoh dengan sistem olengan aktif elektronik 48 volt mengurangkan pergerakan badan kenderaan. Sistem pacuan semua roda menawarkan cengkaman terbaik di atas apa jua permukaan jalan. 

Bentayga EWB Azure dikuasakan oleh enjin turbo berkembar 4.0 liter V8 yang mampu menjana 542hp dan tork 770Nm dengan pecutan 0-100km/j dalam masa hanya 4.6 saat. 

Dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik, kelajuan maksimum jentera itu dihadkan kepada 290km/j.  

Untuk pasaran Malaysia, Bentayga EWB Azure didatangkan dengan Touring Specification yang menambah ciri bantuan pemanduan termaju seperti Kawalan Jelajah Adaptif, Bantuan Lorong, sistem penglihatan waktu malam, serta paparan Head-Up.

SUV berkenaan dihasilkan di kilang Bentley di Crewe, United Kingdom. Sudah dibuka untuk tempahan, Bentayga EWB Azure ditawarkan pada harga bermula RM1.01 juta. 

GALERI

Google ads
Back to top button