BENTLEY POP ART SIR PETER BLAKE
Bentley Continental GT V8 S Convertible pop art hasil rekaan Sir Peter Blake bakal dilelong di Goodwood Festival of Speed pada 24 Jun hadapan.
Bentley bekerjasama dengan godfather British pop art itu bagi tujuan kebajikan yang akan diserahkan kepada Care2Save Charitable Trust.
Jentera mewah berwarna biru itu menerima sentuhan signatur Sir Peter berbentuk hati di atas bonet berwarna kuning. Sementara bahagian gril di kelilingi dengan warna merah jambu.
Bahagian bawah kenderaan di bahagian sisi dan hadapan dikemaskan dengan warna hijau perlumbaan British.
Pada bahagian kabin, setiap kerusi kemasan kulit didatangkan dengan warna berbeza iaitu Cumbrian Green, Imperial Blue, Newmarket Tan dan Hotspur. Kelainan warna itu mewakili penggunaan warna yang digunakan pada bahagian badan Continental GT V8 S Convertible.
Warna yang sama digunakan pada stereng sport. Sir Peter turut menggunakan warna merah jambu pada material kulit tombol gear supaya memberikan imej kontras.
Tidak ketinggalan, bahagian penyandar kepala kerusi dan papan pemuka tepi penumpang Bentley disisipkan dengan lencana Sir Peter. Kemasan terakhir plat dengan label “Number 1 of 1” melengkap sentuhan Sir Peter.
Jentera unik itu dihasilkan oleh jabatan khusus Bentley, Mulliner.