Buletin

BERMAZ AUTO CATAT UNTUNG BERSIH RM87.29 JUTA

Bermaz Auto Bhd (BAuto) mencatat keuntungan bersih RM87.29 juta pada suku ketiga yang berakhir pada 31 Januari lalu.

Sebagai perbandingan, BAuto mencatat RM40.71 juta, tempoh yang sama tahun lepas. Antara faktor peningkatan margin kasar adalah penglibatan BAuto dalam pengedaran domestik bagi kenderaan Mazda.

Selain terbabit dalam pengedaran kenderaan Mazda pemasangan tempatan serta eksport, ia juga mengedarkan model Kia dan Puegeot.

“Sumbangan daripada syarikat bersekutu, Mazda Malaysia Sdn Bhd, telah bertambah baik sejajar dengan jumlah jualan yang lebih tinggi bagi kedua-dua pasaran domestik dan eksport,” kata BAuto.

Perolehan BAuto meningkat kepada RM975.97 juta berbanding RM623.13 juta, disebabkan oleh permintaan berterusan untuk operasi domestik sebelum tempoh insentif pengecualian cukai jualan kereta tamat pada Jun 2022.

Melangkah ke hadapan, syarikat itu berkata sektor automotif akan terus menghadapi cabaran berterusan seperti kekurangan bekalan cip mikro dan komponen, kelewatan bekalan kenderaan, ketidaktentuan konflik geopolitik selain pertumbuhan global yang lebih lemah.

“Selain daripada sebarang keadaan yang tidak dijangka, lembaga pengarah menjangkakan prestasi kumpulan itu kekal positif bagi suku akhir tahun kewangan berakhir 30 April 2023,” tambahnya. – Free Malaysia Today

Google ads
Back to top button