Motosikal

KEEWAY BAKAL LANCAR SKUTER MAXI MBP SC300 DI EROPAH- 278CC, 25HP, HARGA BELUM ADA

Keeway, pengeluar motosikal di bawah Kumpulan Qianjiang dari China bakal melancarkan skuter maxi, MBP SC300 di Eropah.

Dikeluarkan di bawah anak syarikat premium terbaharunya, Moto Bologna Passione (MBP), MBP SC300 bagaimanapun dihasilkan di China kerana lebih mesra bajet.

MBP SC300 mengikut formula seperti kebanyakan skuter maxi lain terutamanya rekaan badan moden demi kesesuaian penggunaan masa kini.

Ciri-ciri utama MBP SC300 termasuklah sistem lampu LED penuh, serta paparan TFT berwarna yang agak besar. Selain cermin depan untuk perlindungan angin dan rak bagasi di belakang.

Dari segi kuasa, skuter maxi itu dipacu oleh enjin empat lejang silinder tunggal bersesaran 278cc dengan sistem penyejukan cecair dan pancitan bahan api.

Dipadankan dengan kotak gear CVT, enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa 25hp.

Skuter itu turut disokong oleh sistem suspensi jenis teleskopik standard di hadapan dan sepasang penyerap hentak di belakang.

Mengenai sistem brek, ia dilengkapi brek cakera hadapan dan belakang daripada syarikat milik Brembo, J.Juan, sementara ABS datang sebagai standard.

Perincian lain MBP SC300 termasuklah set roda bersaiz 13 inci, penghidup enjin tanpa kunci dan GPS binaan dalam yang boleh diakses melalui paparan TFT.

Buat masa ini, harga untuk skuter baharu itu masih belum diumumkan, tetapi kita boleh menjangkakan harga akan diumumkan tidak lama lagi.

Google ads
Back to top button