Buletin

BERUANG KENA MARAH BUKA PINTU KENDERAAN. CIS!!! BARU NAK PERGI JALAN-JALAN

Seorang pemilik kenderaan memarahi seekor beruang yang cuba memasuki kenderaannya dengan menggunakan nada ‘suara ayah’.

Apa yang mengejutkan tindakan lelaki berkenaan berkesan dan haiwan itu mengikut kata.

Dalam rakaman video di kabin Gatlinburg, Tennessee, Amerika Syarikat itu, seekor beruang hitam menghampiri sebuah kenderaan model Jeep yang diparkir sebelum ia berdiri dan membuka pintu hadapan.

Bagaimanapun, pemilik kenderaan yang merakam gelagat beruang itu meninggikan suara dan berkata, “Hey! Tidak, jangan buat begitu!”(Hey!No, don’t do that!”

Beruang berkenaan yang terkejut melihat di sekeliling sekali gus melepaskan pintu sehingga ia tertutup sendiri.

Sambil lelaki itu ketawa melihat gelagat beruang itu, ia masih belum mahu menyerah kalah dan mencuba sekali lagi membuka pintu kenderaan.

Pemilik kenderaan menggunakan nada suara lebih garang dan beruang itu berlalu memasuki kawasan hutan berhampiran.

Ayah kepada tiga anak itu berada di kabin berkenaan bersama isteri pada hujung minggu lalu untuk menyambut ulang tahun kelahirannya.

“Kami mempunyai tiga anak lelaki, apabila beruang hitam itu berkeliaran di luar kawasan hutan dan membuka pintu kereta, saya menggunakan nada suara ‘suara ayah’ yang dipanggil anak-anak apabila memarahi mereka.

“Beruang itu telah menutup semula pintu kenderaan apabila saya menggunakan suara itu. Bukan sekali tetapi dua kali,” kata lelaki itu.

Video berkenaan dirakam di Taman Negara Great Smoky Mountains yang menempatkan kira-kira 1,500 populasi beruang. – dailymail

Google ads
"
"
Back to top button