Buletin

SUBARU TAMATKAN PRODUKSI BRZ. KEMBAR BAHARU GR86 KELUAR TAHUN 2021

Subaru mengumumkan bahawa ia tidak lagi mengambil tempahan model sports BRZ selepas lapan tahun jentera itu diproduksi.

“Kami tidak lagi menerima tempahan model-model yang disenaraikan. Tempahan hanya boleh dibuat daripada stok yang ada pada pengedar,” kata Subaru dalam laman web rasminya.

Ini bermakna BRZ hanya boleh dibeli baru sehingga stok masih ada dan pembeli tidak boleh melakukan konfigurasi khas ke atas kereta mereka.

Pengumuman yang sudah dijangka itu bermakna Subaru dan rakan kerjasamanya, Toyota bakal memperkenalkan model gantian pada tahun depan. Jentera baharu itu didakwa menerima enjin 2.4 liter turbo daripada Subaru berkuasa 252bhp.

Toyota akan menjual kereta sports baharu dikenali sebagai GR86. Nama untuk model model Subaru bagaimanapun masih belum diketahui.  

Ia bakal dibina di atas platform baharu. Ada sumber menyatakan ia menggunakan platform TNGA Toyota kerana boleh disesuaikan dengan rangkaian kuasa pacuan roda belakang.

Model yang ditunggu-tunggu ramai itu akan menerima gayaan baharu, terutama bahagian kabinnya. Nantikan juga naik taraf sistem infohibur dan material yang lebih baik.

Bagi menjadikannya semakin praktikal, ruang dalaman akan lebih luas.

Google ads
Back to top button