Buletin

SERGIO PEREZ PEMANDU F1 PERTAMA POSITIF COVID-19

Pemandu  Formula Satu (F1), Sergio Perez tidak akan mengambil bahagian dalam perlumbaan F1 Grand Prix (GP) Britain apabila disahkan positif Covid-19.

Dia yang memandu untuk pasukan Racing Point menjalani kuarantin dan akan digantikan pada perlumbaan di litar Silverstone pada hujung minggu ini.

Stoffel Vandoorne dan Esteban Gutierrez merupakan pemandu simpanan bagi pasukan ini.

“Perez telah menjalani kuarantin diri mengikut arahan pihak berkuasa kesihatan awam dan akan terus mengikuti prosedur ditetapkan pihak berkuasa itu.

“Dengan bantuan penganjur GP Britain, pihak berkuasa kesihatan tempatan dan delegasi Covid-19 FIA, inisiatif menjejak telah dilakukan dan kontak rapat pemandu berkenaan turut menjalani kuarantin,” kata kenyataan dikeluarkan Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA)

Menurut kenyataan itu lagi, prosedur ditetapkan FIA dan F1 dalam memastikan pengasingan dilaksanakan dengan pantas tidak akan memberi kesan lebih meluas pada perlumbaan kelak.

Dalam pada itu, pasukan Racing Point berkata, Perez berada dalam keadaan baik dari segi fizikal dan mental.

“Bagaimanapun, dia akan meneruskan proses pengasingan di bawah garis panduan ditetapkan pihak berkuasa kesihatan tempatan.

“Secara keseluruhan, keselamatan menjadi keutamaan pasukan dan sukan ini. Pasukan akan berlumba dengan dua jentera pada Ahad ini,” ujar kenyataan itu. –agensi.

Tags
Google ads
Back to top button