BETUL KE JENTERA F1 TAK BOLEH MENGUNDUR? ATAU KENA TOLAK?
Jawapan pendek bagi soalan di atas ialah tak betul, kereta lumba F1 masih boleh dipandu mengundur. Tapi agak susah. Sebagai bukti, dalam perlumbaan di Imola GP pada 18 April yang lalu, Lewis Hamilton telah mengalami situasi tayar depan terkunci disebabkan jentera F1 tiada ABS
Ditambah pula dengan keadaan litar yang sedikit basah dan penggunaan tayar full racing slick, juara dunia 7 kali pun boleh terbabas dan mengalami wheel lock up. Nak pakai tayar hujan pun, litar bukan basah sepenuhnya menjadikan penggunaan tayar full racing slick lebih sesuai untuk mencatatkan masa terpantas
Dalam usaha untuk memotong di laluan berselekoh dengan litar basah, jentera Mercedes telah mengalami brake lock dan terbabas di perangkap jalan berbatu. Jika anda perasan, reaksi spontan Lewis Hamilton pada mulanya ialah cuba mengeluarkan jentera Mercedes dengan memandu ke depan dengan stering diputar habis ke kiri.
Malangnya ratio stering tak cukup besar menyebabkan jentera Mercedes terlanggar penghadang keselamatan. Tiada pilihan lain yang boleh dibuat kecuali dengan mengundurkan jenteranya untuk kembali semula ke litar perlumbaan. Namun sebenarnya ia sangat susah untuk mengundurkan jentera F1 sebenarnya walaupun peraturan FIA mewajibkan semua jentera boleh dipandu mengundur
Disebabkan jentera F1 amat jarang dipandu secara mengundur, mekanisme gear mengundur dibuat sekecil boleh, ringan dan biasa diposisikan pada bahagian yang kurang ideal. Kedudukannya lebih kepada untuk memberi imbangan berat jentera yang bagus serta sekadar memenuhi peraturan FIA.
Beberapa tahun lepas wujud satu peraturan tidak bertulis pada setiap pasukan yang tidak membenarkan pemandu menggunakan gear mengundur. Sekiranya ia digunakan, kemungkinan besar ia akan rosak dan keseluruhan kotak gear perlu ditukar dan penggantian kotak gear yang tidak berjadual akan berdepan dengan penalti.
Namun dengan peningkatan kualiti binaan dan bahan, penggunaan gear mengundur sudah tidak menjadi berisiko seperti dulu. Malah berat jentera F1 sebenarnya masih lagi rendah, sekitar 749kg sahaja dan rekaan terbaru gear mengundur boleh menangani berat ini. Jadi untuk F1 sesi terbaru pemandu dibenarkan mengundurkan jentera mereka
Tapi, jika anda perhatikan video di bawah, Lewis memerlukan sehingga 40 saat untuk mengaktifkan gear mengundur. Lewis perlu menekan butang mengundur dan gear memerlukan masa yang lama untuk diaktifkan. Malah Lewis perlu melakukan burnout spin dalam usaha mengaktifkan gear mengundur malangnya dia terlanggar penghadang keselamatan
Gear mengundur boleh diaktifkan dengan menekan butang Neutral dalam satu tempoh masa tertentu. Ditambah pula SOP ini jarang dibuat, memang pemandu tidak tahu berapa lama butang Neutral ini perlu ditekan bagi mengaktifkan gear mengundur.
Tambah pula cermin pandang belakang yang kecil menyukarkan pemandu untuk melihat ke arah belakang. Kemalangan kecil boleh berlaku disebabkan masalah ini. Lewis bernasib baik kerana berjaya memandu jentera F1 keluar, kembali ke pitstop untuk pembaikan, dan tidak dikenakan penalti disebabkan berjaya kembali semula ke litar tanpa bantuan marshal