
BHPETROL NAIK TARAF INFINITI DIESEL EURO5 & DIESEL EURO-2M
Bousted Petroleum Marketing Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab memasarkan bahan api jenama BHPetrol hari ini melancarkan BHPetrol Infiniti Diesel baharu.
Infiniti diesel dilengkapi aditif generasi baru yang ‘membersih’ dan ‘mengekalkan kebersihan’ enjin itu kini boleh didapati di lebih 105 stesen minyak BHPetrol di seluruh negara. BHPetrol Infiniti Diesel Euro-2M ditawarkan pada harga RM1.70 seliter. Sementara diesel Euro5 pula berharga RM1.80 seliter.
Bahan api diesel itu menggunakan aditif yang direka khas untuk enjin diesel moden. Ia merupakan naik taraf ke atas diesel Euro5 yang telah diperkenalkan oleh Bousted Petroleum Marketing pada November 2014.
“Aditif baharu ini boleh didapati pada Infiniti Euro5 diesel dan gred Euro-2M diesel,” kata Pengarah Peruncitan BHPetrol, James Khoo.
Aditif generasi baru yang diformulasi khas oleh pembekal dan pakar kimia di Jerman tersebut mampu menangani masalah pembentukan deposit yang sukar dihilangkan pada enjin diesel moden. Sedia maklum bahawa deposit boleh menjejaskan komponen-komponen penting sistem penghantaran bahan api seperti nozel pancitan bahan api.
Memandangkan lubang nozel itu sangat kecil – 0.090mm, jadi ia amat mudah untuk tersumbat. Apabila nozel itu tersumbat, corak semburan bahan api ke dalam kebuk pembakaran akan terjejas. Akibatnya, penjimatan bahan api akan terjejas, kehilangan kuasa, proses melahu tidak lancar, banyak asap, malah boleh merosakkan enjin.
OEM menetapkan bahawa kehilangan kuasa pada enjin diesel moden mestilah kurang daripada dua peratus. Spesifikasi ini boleh dicapai dengan menambah aditif pada Infiniti Euro-5 pada kadar rawatan minimum yang dicadangkan oleh pengeluar kenderaan dari Jerman.
Namun, BHPetrol telah menambah kadar rawatan maksimum (2.5 kali lebih banyak) pada diesel Infiniti Euro5. Maka, masalah kehilangan kuasa dapat diselesaikan sepenuhnya. Keberkesanan aditif baharu berbanding aditif lama telah diuji dalam ujian XUD 9 CEC F 23-01 (untuk enjin lama) dan DW 10 CEC F 98-08 (enjin baru dengan sistem pancitan bahan api).
“Sekali lagi, BHPetrol menjadi perintis dalam membawa bahan api berkualiti tinggi kepada pengguna di Malaysia. Dengan Infiniti Diesel Euro-2M dan Euro5 ini, pemilik kenderaan diesel dapat menikmati prestasi sebenar enjin diesel masing-masing.
“Jika kenderaan anda menggunakan diesel dengan aditif lama, tukar kepada minyak diesel baru ini dan rasai sendiri perbezaannya dalam tempoh yang singkat. Ini kerana diesel kami mempunyai prestasi ‘Clean Up’ yang terbaik,” katanya lagi.