,
Artikel Pilihan

PERANG SEDAN SEGMEN B, MODEL MANA PALING POWER

Bulan November 2019 merupakan bulan yang panas bagi model-model sedan kelas B kerana terdapat 2 model yang dilancarkan serentak dalam masa 2 minggu. Walaupun model ini hanya dilancarkan di Thailand, namun pihak kami yakin model-model ini akan masuk ke pasaran Malaysia dalam sedikit masa sahaja nanti. Model tersebut ialah Honda City 1.0 Turbo CVT dan Nissan Almera 1.0 Turbo CVT.

Namun terdapat beberapa isu seperti spesifikasi yang akan ditawarkan bagi pasaran Malaysia memandangkan kedua-dua model ini dilancarkan di Thailand. Bagi model Honda City, kami yakin bahawa mereka mampu untuk menawarkan enjin terbaru 1.0 turbo sama seperti yang dilancarkan. Namun bagi model Almera, boleh dikatakan peluang untuk kita mendapat enjin 1.0 turbo itu sekadar 50% memandangkan enjin ini dibuat khas untuk pasaran Thai bagi kategori Eco Car Phase 2

Bagi tujuan perbandingan, kami menampilkan data spesifikasi Honda City 2020, Nissan Almera 2020, Toyota Vios dan juga Proton Persona. Data ini juga akan membandingkan parameter pada Honda City dan Nissan Almera generasi sebelumnya. Semua model menampilkan varian tertinggi yang dijual beserta harga yang dijual di Thailand dan juga Malaysia.

Dari segi saiz, Honda City terbaru mendominasi dari segi panjang dan lebar berbanding dengan pesaingnya. Namun Nissan Almera 2020 memberikan lebih ruang kabin dengan jarak antara roda paling besar iaitu 2620mm berbanding Honda City sekitar 2589mm. Namun berdasarkan pengalaman, jurutera Honda lebih berpengalaman dalam menyusun pakej ruang dalam kabin bagi memberikan luas yang lebih.

Honda City dan Nissan Almera sama-sama memperkenalkan enjin 1000cc 3 silinder dengan teknologi turbo. Enjin terbaru ini mendapat teknologi suntikan bahan api terus yang digabungkan dengan teknologi pemasaan injap VTEC bagi Honda dan CVTC bagi Nissan. Enjin P10A milik Honda menghasilkan 120 kuasa kuda dan enjin HR10DDT milik Nissan menghasilkan 100 kuasa kuda. Sebagai perbandingan enjin 1600cc Persona menghasilkan 107 kuasa kuda

Enjin Honda juga berupaya menghaslkan tork setinggi 173Nm iaitu paling tinggi di dalam kelasnya berbanding Nissan 152Nm sahaja. Enjin Persona yang hanya diberikan teknologi VVT dan EFI sahaja juga mampu menawarkan tork setinggi 150Nm, boleh dikatakan agak bagus bagi sebuah enjin yang lama. Kesemua model dalam data ini menggunakan transmisi CVT yang disambungkan pada roda depan.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Honda, City mampu bergerak sejauh 23.8km / liter petrol, Almera 23.3km / liter petrol, Vios 17.2km / liter petrol dan Persona sekitar 16km / liter petrol (diuji dengan pemanduan 110km/j di lebuh raya). Kecekapan penggunaan petrol ini meningkat berbanding dengan model lama City dan juga Almera.

Pujian harus diberikan pada Honda kerana berupaya menghasilkan enjin paling berkuasa, memiliki tork paling tinggi, dan juga memiliki kecekapan bahan api yang paling baik. Dalam segmen ini, hanya City dan Vios sahaja yang menawarkan kawalan penukaran gear melalui kawalan di stering di mana pemandu berupaya mengawal 7 ratio gear. Honda City pula ditawarkan bersama-sama dengan sistem kawalan pemanduan autocruise.

Sebagai sebuah model permulaan, semua kereta dalam segmen ini akan menggunakan sistem suspensi McPherson bagi roda depan dan torsion beam bagi roda belakang. Dalam spesifikasi yang diberi, Nissan Almera dan Toyota Vios akan dilengkapkan dengan bar anti oleng bar pada roda depan dan belakang. Honda City generasi terdahulu pula dipasang dengan bar pengukuh pada bahagian belakang.

Begitu juga dengan komponen brek, kesemua model di atas akan menggunakan kombinasi brek cakera di depan dan brek drum di belakang. Hanya Vios sahaja yang diberikan brek cakera di depan dan juga belakang. Kesemua model ini juga dilengkapkan dengan ciri keselamatan Sistem Kawalan Kestabilan Elektronik kecuali pada Almera generasi lama. Hanya Vios sahaja yang diberikan sehingga 7 beg keselamatan udara.

Vios juga turut menawarkan sistem amaran titik buta dan juga sistem amaran lintasan trafik di bahagian belakang di mana radar akan mengesan kehadiran kereta dari arah belakang. Cermin dengan sudut pandangan 360 darjah bagi model Vios akan memudahkan pemandu untuk memarkir kereta dan mengendalikan kereta di ruang yang sempit.

Namun Almera tampil dengan lebih lagi apabila menawarkan pakej Nissan Intelligent Mobility pada Almera terbaharu mereka. Apa yang Nissan tawarkan merupakan satu lonjakan besar pada model Almera jika dibandingkan dengan model lama yang ketinggalan dari aspek keselamatan. Nissan melengkapkan Almera terbaru ini dengan Vehicle Dynamic Control dan juga 6 beg udara.

Sepasang kamera dan sistem radar akan menjadi mata tambahan bagi fungsi Sistem Amaran Brek Pra-Perlanggaran dan juga Brek Pra Perlanggaran. Unit ini juga merangkumi sistem amaran titik buta dan juga sistem amaran yang akan dibunyikan ketika kereta sedang mengundur keluar dari parkir. Sebagai tambahan Almera juga diberikan kamera 360 darjah bersama-sama dengan pengesan yang akan memberikan amaran jika ia mengesan objek bergerak sewaktu sistem diaktifkan

Proton Persona masih kekal sebagai sebuah sedan B segmen paling murah antara semua model di atas, namun dengan kepakaran dari Geely ia menjadikan Persona semakin moden, dilengkapi sistem audio arahan suara, kusyen yang selesa, luas dan kualiti pemanduan yang baik. Ya dengan harga RM 54,600 anda perlu berpuas hati dengan lampu depan halogen dengan reflektor dan juga tiada pilihan Sport pada tombol gear.

Walaupun enjin Toyota Vios hanya sekadar 105 kuasa kuda sahaja, namun seperti biasa jurutera Toyota bijak menyembunyikan kelemahan enjin dengan talaan CVT yang baik. Gunakan sahaja penukar gear di steering dan Vios akan memecut laju ke depan tanpa ragu ragu. Pengendalian Vios dengan bar anti oleng pada bahagian depan dan belakang serta brek cakera depan belakang bertindak cemerlang di jalan berselekoh. Cuma apabila kerusi keselamatan kanak-kanak dipasang, ruang belakang menjadi sedikit sempit

Honda City 2020 seperti biasa menjadi juara dalam aspek enjin dan juga transmisi. Berdasarkan pengalaman pemanduan penulis, Honda amat cemerlang diselekoh dan mampu mengekalkan penjimatan bahan api. Rekod personal penulis ialah 20km per liter bagi model lama. Namun untuk model terbaharu ia tidak ditawarkan dengan sistem amaran titik buta dan juga sistem amaran lintasang belakang

Secara peribadi penulis amat meminati rekaan baru serta arah tuju V-Motion design yang menjadi halatuju rekabentuk Nissan. Ia nampak lebih sporti, ada ego tersendiri seperti YB beliau serta lengkap dengan pelbagai teknologi keselamatan yang tiada pada lawannya. Namun dengan prestasi enjin yang nampak sedikit hambar di atas kertas, maka ujian jalanan diperlukan bagi menentukan keupayaan pecutan dan halaju maksima Almera

Jadi pada pembaca Mekanika, model manakah yang akan menjadi pilihan sekiranya anda mencari sedan segmen B?

Tags
Google ads
Back to top button