Artikel Pilihan

BILA KENA TUKAR TAYAR BARU? INI 9 TANDA ANDA KENA TUKAR TAYAR

Segala teknologi enjin, transmisi, brek, cesi dan apa sahaja yang membuatkan kereta bergerak akan dihantar ke tayar bagi menggerakkan kereta dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia merupakan satu-satunya elemen yang bersentuh dengan permukaan jalan, memainkan peranan penting tapi seringkali diabaikan oleh pemilik

Ini kerana tayar biasa akan haus secara perlahan-lahan, maka prestasi tayar yang merosot tidak disedari sangat oleh pemandu. Badan kita biasanya akan mengadaptasi bagaimana kereta berubah dan menganggap apa yang dilalui oleh kereta adalah normal

Kami senaraikan beberapa tanda-tanda tayar kereta anda perlu ditukar dengan segera, bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku:

1. Tread Wear Indicator – atau disebut juga TWI merupakan kaedah visual paling asas dalam menentukan kadar kehausan tayar. TWI biasa berada dalam longkang tayar dan apabila tayar semakin nipis, TWI akan menyentuh permukaan jalan.

Bagi tayar baru ia biasa datang dengan ketebalan antara 7-9mm, menjadikan TWI berada dalam longkang. Apabila tayar haus, TWI akan berada dekat dengan permukaan jalan. Apabila ketebalan tayar kurang dari 3mm, adalah lebih baik untuk tukar tayar demi keselamatan anda.

2. Kereta rasa “terapung” bila lalu lopak air– fenomena ini disebut sebagai aquaplaning iaitu bila tayar gagal menyingkirkan air di atas permukaan jalan yang menyebabkan tayar kereta tidak menyentuh permukaan jalan dan tiada cengkaman yang wujud antara tayar dan permukaan jalan.

Anda boleh perasan dengan tiba-tiba sahaja RPM meter akan naik walaupun anda menekan pedal minyak dengan sekata. Kalau nasib tidak baik, anda akan terbabas. Kalau tidak terbabas, ia adalah tanda yang jelas dan nyata untuk anda menukar tayar dengan segera.

3. Brek terseret – brek yang ideal ialah keadaan di mana sistem brek mengekalkan brek coefficient pada 0.2 dan tayar menjadi perlahan secara bergolek. Sekiranya setiap kali anda brek emergensi tayar hilang cengkaman dan terseret atas jalan, ini bermakna tayar anda sudah tidak sesuai lagi digunakan selepas beberapa tahun.

Apabila tayar mulai terseret ketika membrek, jarak pemberhentian kereta akan menjadi lebih jauh daripada brek dengan tayar berhenti secara bergolek. Paling tragis jika anda menghentam kereta di depan, NCD insurans pun boleh terbang

4. Hilang cengkaman ketika mula memecut – sebaik sahaja menekan pedal minyak di lampu isyarat, tayar anda “berkokok” sedikit kerana ia tidak dapat menghantar kuasa enjin ke atas permukaan jalan ketika mulai bergerak. Berdasarkan pengalaman penulis, ia biasa terjadi jika tayar digunakan melebihi 2 tahun pada hari hujan.

5. Bila tayar sudah lama digunakan – tayar ada “shelf life” yang tersendiri. Ia tidak akan rosak jika disimpan dengan betul, tapi kualiti tayar akan merosot sebaik sahaja ia dipasang pada kereta walaupun kereta tersebut jarang dipandu. Pendedahan pada cahaya matahari, hujan, panas, dan sinaran ultra violet akan menjejaskan struktur kualiti tayar

6. Bila tayar sudah dipandu jauh – sesetengah tayar dengan label “ECO Tyre” memang diiklankan untuk dipandu jauh sehingga 100,000km sebelum perlu ditukar semula. Tayar ini sesuai untuk pemandu yang sentiasa memandu jauh dalam setahun. Dengan mengubah komposisi kimia tayar, tayar akan menjadi semakin keras dan lasak

Tapi pada masa yang sama cengkaman tayar akan semakin berkurang, terutama apabila mencecah jarak 70k-80k kilometer. Bagi tayar biasa, berdasarkan pengalaman penulis kualiti tayar akan merosot selepas dipandu pada perbatuan antara 50k-70k kilometer

7. Tayar bengkak – jika tayar mengalami kerosakan struktur, getah tayar boleh mengalami bengkak yang akan menyebabkan stering bergegar. Pada masa yang sama bahagian tayar yang bengkak ini akan mengalami kehausan yang luar biasa sehingga ia boleh mendedahkan dawai tayar.

8. Tayar pernah pancit – sewaktu bunga tayar masih tebal, adalah lebih ekonomikal untuk menampal tayar yang bocor. Tapi apabila tayar mulai haus, bahagian yang ditampal akan bocor semula. Adalah lebih baik untuk menukar terus tayar jika tayar bocor semula pada lubang yang sama selepas beberapa tahun digunakan.

9. Bila dapat bonus – ya ini waktu terbaik untuk tukar tayar, belanjakan sedikit duit untuk keselamatan keluarga anda.

Ya kami tahu dalam keadaan ekonomi sekarang kos penyelenggraan dan pembelian tayar baru mungkin akan memakan kos yang banyak. Tapi sudah ada banyak jenama tayar yang dipasarkan dari pelbagai jenis jenama yang sesuai dengan kehendak poket anda.

Tak kisah la LingLong ke, ping-pong ke, ding dang, bing bong atau tam-tam, yang penting tayar baru lebih selamat dari tayar lama.

Google ads
Back to top button