
BIMS 2023: GALERI HONDA WR-V, CABAR PERODUA ATIVA, BERMULA RM103K DI THAILAND
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Honda Malaysia sah akan menghentikan jualan MPV tujuh tempat duduknya, BR-V tidak lama lagi.
Sebaliknya, model itu akan digantikan dengan SUV kompak WR-V yang akan bersaing secara langsung dengan SUV popular dalam kalangan rakyat Malaysia, Perodua Ativa.
Ketika berkunjung ke acara Bangkok International Motor Show (BIMS) 2023 beberapa hari lepas, saya berpeluang melihat WR-V secara dekat. Di Thailand, WR-V ditawarkan dalam dua varian iaitu SV dan RS yang dijual pada harga bermula 799,000 baht atau RM103,000 seunit.

Jentera berkenaan menggunakan enjin 1500cc 4 silinder iVTEC DOHC yang sama seperti BR-V, City, City Hatchback dan varian asas HR-V. Enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa sehingga 119hp dan tork 145Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi CVT.
Sudah dilancarkan di pasaran Indonesia sebelum, WR-V mengekalkan signatur rekaan SUV Honda pada bahagian hadapan dengan rekaan gril bersama kemasan titik-titik krom yang diapit oleh sepasang lampu LED nipis.
Bergantung kepada varian, ia hadir dalam kemasan warna badan dua tona, roof rails dan spoiler berwarna hitam.

Antara ciri standard yang ada pada WR-V versi Thailand termasuklah lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, serta rim aloi bersaiz 16 inci.
Ruang kabin pula hadir dengan skrin TFT bersaiz 4.2 inci, skrin Display Audio tujuh inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Susun atur papan pemuka juga nampak ringkas dengan kebanyakan ruang menggunakan plastik keras berwarna hitam.
Di konsol tengah terdapat dua slot USB, satu slot kuasa 12V, dua pemegang minuman dan brek tangan jenis konvensional. Tempat duduk pula dibalut kulit atau gabungan fabrik, bergantung kepada varian.
Dengan ciri keselamatan Honda SENSING yang hadir sebagai standard, ia pasti dapat menarik minat pembeli apabila dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.
- BACA: TIADA LAGI BR-V, HONDA MALAYSIA BAKAL LANCAR WR-V PADA Q3 2023
- BACA: HONDA WR-V DILANCARKAN KE PASARAN INDONESIA – MASUK MALAYSIA TAK NI?
- BACA: SUV PENCABAR ATIVA, HONDA WR-V 2023 RASMI DI INDONESIA, RM82K
- BACA: HONDA MALAYSIA BAKAL LANCAR 3 MODEL BAHARU DAN SEBUAH MODEL FACELIFT – SASAR CATATAN JUALAN 80,000 UNIT UNTUK 2023
GALERI















