Buletin

HONDA MALAYSIA BAKAL LANCAR 3 MODEL BAHARU DAN SEBUAH MODEL FACELIFT – SASAR CATATAN JUALAN 80,000 UNIT UNTUK 2023

Honda Malaysia merangka perancangan strategik tahun 2023 apabila bakal melancarkan tiga model baharu serta sebuah model facelift, selain menetapkan sasaran jualan sebanyak 80,000 unit, mewakili 12.3 peratus penguasaan pasaran.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum berkata, “Honda meraikan ulang tahun ke 75 pada tahun ini. Oleh itu, Honda Malaysia berusaha meningkatkan momentum melalui pelancaran model baharu dan aktiviti pemasaran.

“Kami memberi tumpuan kepada tiga faktor utama untuk model kami, iaitu Teknologi Termaju, Tawaran Premium dan Sporty Appeal. Gabungan tiga tonggak utama ini menjadikan model Honda akan datang lebih unik,” katanya.

Salah satu model berada di jalan raya Malaysia tidak lama lagi ialah Small Sport Utility (SUV), di mana ia dijadualkan dilancarkan pada suku ketiga 2023. Menurut Honda Malaysia, dengan padanan reka bentuk serta teknologi lebih canggih, ia adalah kenderaan sempurna bagi golongan muda serta keluarga.

Di samping itu, Honda Malaysia akan terus mengukuhkan lagi teknologi hibrid di pasaran Malaysia.

“Kami adalah perintis dalam memperkenalkan teknologi hibrid sejak 19 tahun lalu. Teknologi ini telah berkembang begitu ketara bermula dengan teknologi IMA, Sport Hybrid i-DCD dan terkini e:HEV,” jelas Sarly Adle.

Selain pembangunan kenderaan elektrik (EV), Honda Malaysia bakal memperkenalkan pusat 2S (servis dan alat ganti), di samping mempromosikan aktiviti selepas jualan untuk memenuhi peningkatan permintaan pelanggan.

Syarikat juga akan mempertingkat serta menambah sistem Honda CONNECT pada beberapa model lagi bagi membolehkan lebih ramai pelanggan menikmati pelbagai fungsi sistem itu serta menarik taraf HondaTouch.

Google ads
Back to top button