Buletin

TIADA LAGI BR-V, HONDA MALAYSIA BAKAL LANCAR WR-V PADA Q3 2023

Setelah dilancarkan di Indonesia dan Thailand, Honda WR-V bakal tiba di pasaran Malaysia pada suku ketiga 2023. Pengenalan SUV kompak itu sekali gus mengesahkan penamatan jualan MPV/SUV tujuh tempat duduk popular, BR-V di sini.

Ramai peminat kereta SUV menantikan Honda WR-V 2023 kerana ia kelihatan mewah dan bakal bersaing secara langsung dengan Perodua Ativa.

Honda WRV 2023 mempunyai dimensi 4,060mm panjang, 1,780mm lebar dan 1,608mm tinggi dengan jarak roda 2,485mm.

Di bahagian hadapan, Honda WR-V dipadankan dengan gril rekaan futuristik serta lampu hadapan moden, lampu LED (bahagian hadapan dan belakang) dengan aksen krom gelap yang memberikan gayaan sporty.

Perincian lain termasuklah papan pemuka lebih luas, tempat duduk menggunakan bahan diperbuat daripada gabungan kulit dan fabrik. Terdapat juga dua port USB, skrin sentuh bersaiz 7 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay serta Android Auto.

Sistem keselamatan pasif pula terdiri daripada Bantuan Kestabilan Kenderaan, Bantuan Permulaan Bukit, empat beg udara, ABS dan EBD. Enam beg udara dijangka dipasang pada varian paling tinggi.

Untuk rekod, Versi WR-V telah memperoleh penarafan keselamatan lima bintang daripada ASEAN NCAP (Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara).

Honda WR-V dikuasakan oleh enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi 4-silinder i-VTEC, menghasilkan kuasa 119Hp pada 6,600 rpm dan tork 145Nm pada 4,300 rpm. Enjin yang sama digunakan pada model Honda City dan HR-V varian asas itu kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT bersama sistem pacuan roda hadapan.

Mengenai harga pula, Honda WR-V dijual pada harga RM81,706 hingga RM92,819 di Indonesia. Sementara pasaran Thailand ditawarkan pada harga bemula RM103,072.

Bagi pasaran Malaysia, kita boleh jangkakan ialah harga Honda WR-V 2023 dijual lebih mahal berbanding segmen B Honda City.

Google ads
Back to top button