Buletin

BMW 218i GRAN COUPE M SPORT. FWD, ENJIN 3 SILINDER 1.5L, RM211K

BMW Malaysia hari ini memperkenalkan jentera coupé empat pintu yang pertama dalam segmen kompak premium di Time Kulture oleh Switch Watch Gallery, pameran jam tangan Swiss yang berprestij dianjurkan di Pavilion Kuala Lumpur.

Coupe empat pintu yang dipasang di Malaysia itu hadir dengan gril ‘kidney’ tunggal dalam rekaan tiga dimensi baharu. Bahagian hadapan turut diserlahkan dengan lampu utama dan lampu kabus LED yang nipis.

Gayaan luaran disempurnakan lagi dengan rim aloi M ringan bersaiz 18 inci yang dibalut oleh tayar jenis run-flat. Tingkap tidak berbingkai menonjolkan lagi seni reka bentuknya yang menawan.

Bahagian belakang pula dipasang dengan lampu LED nipis bersama kemasan jalur hitam berkilat. Jentera itu juga hadir dengan pakej M Aerodynamics sebagai standard, bersama Shadow Line BMW Individual.  

Enjin 3 selinder 1.5L

Gran Coupé itu dikuasakan oleh enjin tiga silinder berkapasiti 1.5 liter. Mematuhi piawaian EU6d-TEMP, enjin tersebut mampu menjana kuasa140hp dan tork 200Nm. Kuasa itu disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar 7-kelajuan.

Rangkaian kuasa itu menawarkan penggunaan bahan api sekitar 5.9l/100km dengan kelajuan maksimum mencecah 213km/j.

Sama seperti BMW 1 Series, BMW 218i Gran Coupé M Sport, aspek pengendaliannya dimantapkan dengan penggunaan teknologi ARB (near-actuator wheel slip limitation). Teknologi itu menawarkan kawalan lebih pantas dan sensitif. Selain mengelakkan masalah understeer yang biasa dialami oleh jentera FWD.

ARB juga berfungsi mengurangkan risiko gelincir dengan mengurangkan input kuasa pada roda hadapan.  

Ruang kabin

Kokpit BMW 218i Gran Coupé M Sport menampilkan kemewahan menerusi kemasan iluminasi Boston dan cahaya LED dengan Lights Package. Sterengnya dibalut kulit Dakota, manakala sistem pendingin hawa dua zon memberi keselesaan kepada semua.

Ruang itu dilengkapi BMW Live Cockpit Plus yang menampilkan takometer dan meter laju analog. Tidak ketinggalan, skrin bersaiz 5.1 inci berformat potret 4:3 yang memaparkan maklumat seperti kelajuan kereta, status sistem bantuan pemandu dan arahan navigasi. Ia turut dilengkapkan dengan paparan kawalan skrin sentuh 8.8 inci.

Konsol tengahnya menempatkan tuil gear, iDrive Controller, butang penghidup enjin dan pengecas tanpa wayar.

Biarpun nampak kompak ia masih mampu menawarkan ruang kargo seluas 430 liter, 40 literlebih besar berbanding BMW 2 Series Coupe. Tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan konfigurasi 40/20/40.

Ciri Comfort Access 2.0 turut disediakan bersama kunci gigital BMW untuk kemudahan tambahan.

Sistem bantuan memandu yang terbaik.

BMW Personal CoPilot yang menampilkan fungsi-fungsi seperti Bantuan Memandu, Bantuan Memarkir dan Bantuan Mengundur.  

Sistem tersebut turut merangkumi Lane Change Warning, Crossing Traffic Warning di belakang, Rear Collision Warning dan Speed Limit Assist. Di samping Lane Departure Warning dengan intervensi stering aktif serta Forward Collision Warning dengan fungsi intervensi brek.

Bantuan Parkir dan Bantuan Mengundur juga disediakan sebagai standard, beserta Active Park Distance Control dan bantuan parkir lateral.

BMW 218i Gran Coupé M Sport didatangkan dalam pilihan warna putih, hitam, biru, kelabu dan merah. Jentera itu akan berada di semua pengedar sah BMW bermula 8 Oktober 2020.

Pelanggan juga boleh membuat tempahan di http://www.shop.bmw.com.my/ dengan bayaran RM1,000.

Jika berminat, BMW 218i Gran Coupé M Sport ditawarkan pada harga RM211,367 (tidak termasuk insurans).

GALERI

Google ads
Back to top button