Buletin

BMW X3, X4 M COMPETITION DILANCARKAN DI MALAYSIA. 510 HP, HARGA BERMULA RM877K

BMW Malaysia melancarkan dua SUV terbaharu berprestasi tinggi di bawah DNA M. Dua model terbaharu itu merupakan BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition.

Ditawarkan dengan lima warna pilihan iaitu putih (Alpine White), hitam (Black Sapphire), biru (Phytonic Blue), kelabu (Sophisto Grey) dan merah (Toronto Red).

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, dan Program Servis Berjadual Percuma) BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition ialah:

  • BMW X3 M Competition                                RM 886,551.58
  • BMW X4 M Competition                                RM 904,276.60

BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition tampil dengan elemen-elemen reka bentuk M yang menyerlahkan lagi rekaan sporty.

Bahagian hadapan dilengkapi apron khas dan komponen bukaan udara lebih besar dalam bentuk heksagon.

Model terbaharu ini didatangkan dengan gril ‘kidney’ berwarna hitam, lampu hadapan LED adaptif dengan ciri bantuan lampu puncak dan lampu belakang LED penuh.

Selain itu, ia menawarkan cermin sisi aerodinamik ekzos M Sport dalam warna hitam dan set roda aloi ringan M bersaiz 21 inci.

Ruang kokpit BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition menterjemahkan kemewahan jentera baharu ini dengan rekaan M.

Ia termasuk kemasan gentian karbon, tali pinggang keledar M, pedal M, tempat duduk berventilasi dan menyokong tulang belakang, roda stereng M, paddle shifter, butang fungsi M Drive dan butang mula/berhenti berwarna merah.

Jentera ini juga mendapat kemasan tombol gear baharu dan tiga aras kawalan bagi respons enjin, peredam dan stereng.

Bahagian papan pemuka ditawarkan Head-Up Display dengan pelbagai varian paparan M-specific, Parking Assistant Plus yang menampilkan Pandangan Keliling (Surround View) dan Remote 3D Service.

Sistem infotainmen pula dilengkapi Paparan Kawalan (Control Display) 10.25 inci yang boleh beroperasi menggunakan Pengawal iDrive (iDrive Controller) melalui fungsi sentuhan dan Kawalan Gestur BMW (BMW Gesture Control).

Ia juga mendapat khidmat sistem bunyi keliling Harman Kardon dengan kuasa amplifier 600 W, sembilan saluran dan 16 pembesar suara membekalkan hiburan tanpa henti.

Antara sistem teknologi lain termasuk ConnectedDrive Services yang menawarkan Concierge Services, Teleservices, Servis Jarak Jauh (Remote Services), Panggilan Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call) dan Apple CarPlay.

Model-model ini juga hadir dengan sistem bantuan pintar seperti Driving Assistant Plus, Parking Assistant Plus dan Sistem Comfort Access.

BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition mendapat khidmat enjin 3.0 liter enam silinder sebaris M TwinPower Turbo dengan 510 hp dan tork 600 Nm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda xDrive menerusi transmisi Steptronic M lapan kelajuan dengan teknologi Drivelogic yang menawarkan tiga mod iaitu Efficient, Sport dan Sport Plus.

Jentera terbaharu ini mampu memecut 0 hingga 100 km/j dalam tempoh 4.1 saat. Kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.

BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition boleh didapati di pusat pengedaran BMW seluruh negara.

Para pelanggan juga boleh menempah model-model BMW M baharu ini di http://www.shop.bmw.com.my/dengan bayaran RM5,000 bagi setiap kenderaan dan berpeluang untuk memenangi BMW i8 Coupe.

GALERI

Google ads
Back to top button