Buletin

BMW AUTOMATED SHIFT ASSISTANT (ASA), TAK PERLU TARIK CEKAM, TUIL PENCENGKAM PUN TAK ADA!

Pada 2023 Honda memperkenalkan E-Clutch yang memudahkan penunggang motosikal menukar gear tanpa menarik tuil pencengkam. Jika mahu, penunggang masih boleh menarik tuil seperti biasa.

Terbaru BMW Motorrad memperkenalkan Automated Shift Assistant (ASA) yang langsung tanpa tuil pencengkam! Operasi cekam dan penukaran gear dibuat secara automatik.

Teknologi ini dibangunkan selama lima tahun dan menariknya pada peringkat awal mempunyai tuil pencengkam elektronik sebelum ditanggalkan selepas mendapati tiada keperluan untuknya.

ASA mempunyai dua penggerak (actuator) elektromekanikal yang mengautomatikkan cekam dan tukaran gear transmisi enam kelajuan.

Tuil tangan untuk menarik cekam secara manual tidak diperlukan dan proses mula pandu, berhenti dan mengemudi menjadi mudah dengan ASA.

Tunggangan bersama ASA juga menjadi lebih seronok susulan jujukan gear yang pantas dan bersesuaian dan penukaran gear yang tepat. Tugas penunggang juga berkurangan.

Satu lagi, ASA juga menjadikan hubungan dengan enjin boxer BMW menjadi lebih langsung (direct) hasil pergerakan cekam yang tepat dan tunggangan lebih mudah dikawal.

Penunggang hanya perlu menumpukan pada pendikit dan batang gear.

Di dalam mod M, gear ditukar dengan kaki seperti biasa. Mod D pula membolehkan ASA beraksi penuh dengan titik gear dipilih secara automatik oleh unit kawalan enjin.

Satu lagi yang diberitahu, di dalam kedua-dua mod M dan D, penunggang dapat menikmati tukaran gear sempurna dengan ‘gangguan’ cengkaman yang lancar.

Apabila menukar gear atas, sentakan yang biasa dirasai pada transmisi dengan cekam manual berkurangan secara signifikan.

Risiko topi keledar pembonceng berlaga dengan topi keledar pemandu juga berkurang! Tukaran gear ke bawah turut direka selancar mungkin dan mengurangkan gangguan casis.

Setiap mod tunggangan mempunyai ciri-ciri penukaran automatik yang khusus untuk karakter penukaran yang baik pada setiap keadaan tunggangan.

Mungkin ada yang beranggapan, motosikal tanpa cekam akan menghilangkan keseronokan tunggangan.

Namun tidak semua situasi sama terutama sekali ketika membawa pembonceng dan barangan atau ketika menunggang dalam keadaan mencabar.

Seperkara lagi, cekam automatik dapat menyerlahkan karakter enjin boxer yang berkuasa ketika mendaki dan turut membantu di laluan off-road dan permukaan sukar.

Cekam elektromekanikal dan penggerak tukaran gear berfungsi bersama kawalan elektronik lain. ASA sebenarnya adalah lanjutan kepada BMW Motorrad Shift Assistant Pro.

Ringkasan operasi:

  • Dua penggerak elektromekanikal kawalan elektronik mengoperasikan cekam dan tukaran gear
  • Gerakan kaki penunggang ketika menukar gear dihantar ke unit kawalan melalui penderia penukaran gear
  • Penderia tambahan menentukan ligatan (rev) aci input transmisi dan kedudukan cekam
  • Nilai tersebut dihantar ke Unit Kawalan Transmisi (TCU) yang turut berhubung dengan unit kawalan enjin untuk pemodelan dan kawalan cekam, aktuasi tukaran dan status
  • Cekam dioperasikan penggerak elektromekanikal dan sistem hidraulik dengan sambungan hidraulik secara terus di antara silinder induk dan hamba (slave) cekam
  • Aktuator mengawal gelinciran cekam (slip) yang diperlukan, memasukkan cekam apabila menukar gear dan melepaskannya apabila berhenti

Penukaran gear

  • Di dalam mod M, penunggang boleh menukar gear seperti biasa
  • Apabila rev berada pada julat maksimum atau minimum, tukaran gear akan dibuat secara automatik
  • Gear turut diturunkan secara automatik apabila rev enjin di bawah kelajuan minimum  bagi mengelakkan enjin terhenti
  • Di dalam mod D, tukaran gear dilakukan secara automatik bergantung kepada mod tunggangan, rev enjin, kedudukan pendikit dan parameter sudut rebahan
  • Gear ditukar mengikut keadaan tunggangan dan keperluan dinamik

Kelebihan ASA

  • Langsung tanpa cekam!
  • Penukaran gear yang dinamik dan selesa untuk lebih keseronokan tunggangan
  • Pilihan penukaran gear automatik atau manual
  • Menyesuaikan penukaran gear secara automatik mengikut dinamika penunggang (mod D)
  • Enjin tidak terhenti akibat salah penukaran gear (tukaran dibuat secara automatik)

Google ads
Back to top button