Pada bulan lepas, Mekanika telah dijemput untuk menyertai sesi pandu uji terhad bagi model GWM Tank 300. Dalam masa yang singkat dan sesi pandu uji yang terhad, kami cuba huraikan keupayaan luar biasa SUV ini dan segala maklumat penting untuk pembaca
1. Dimensi – dari segi saiz GWM Tank 300 datang dengan panjang 4760mm serta lebar 1930mm, sekaligus meletakkan Tank 300 dalam kategori segmen C namun lebih besar dari pesaing. Tinggi maksimum direka pada 1927mm manakala jarak antara roda ditetapkan pada 2750mm, menjadikannya paling besar dalam segmen
2. Rekaan – dari segi rekaan, GWM Tank 300 datang dengan rekaan utilitarian serta bentuk SUV klasik iaitu berkotak-kotak. Dari jauh anda boleh lihat GWM Tank 300 diberikan seakan sebuah Land Rover Defender dengan tayar gantian digantung pada bahagian belakang
Rekaan depan pula menampilkan bentuk lampu retro yang bulat dan lampu signal yang melintang dipasang terus pada lampu depan. Bahagian sisi diperkemaskan dengan penutup plastik yang terkeluar dari perumah tayar memberikan gaya ranggi.
3. Cesi – berbeza dengan Haval H6, GWM Tank 300 menggunakan platform ladder frame yang sama digunakan oleh GWM Poer. Bukan itu sahaja, ia diberikan sistem suspensi double wishbone di bahagian depan dan multilink di bahagian belakang.
GWM Tank 300 boleh mendaki permukaan jalan tidak rata pada sudut 33 darjah pada arah depan, dan 34 darjah pada bahagian belakang. Ia juga direka dengan jarak permukaan jalan 224mm serta boleh meredah air sehingga 700mm tanpa masalah
5. Trenkuasa- bagi pasaran Malaysia, ia akan ditawarkan dengan satu pilihan enjin petrol turbo 2000cc 4 silinder yang boleh menjana sehingga 224 kuasa kuda dan 387Nm tork. Varian 2.0 Turbo Hibrid juga ada dipamerkan dengan tawaran 345 kuasa kuda dan 615Nm tork. Namun apa yang kami pasti, hanya varian petrol turbo sahaja yang akan dijual nanti
Enjin ini akan digandingkan dengan transmisi 8 kelajuan yang dibekalkan oleh ZF Transmission, yang merupakan pembekal transmisi OEM bagi kebanyakan pengeluar kereta di dunia termasuk BMW, Jeep, Aston Martin dan juga Dodge.
6. Pacuan 4 roda – ditawarkan dengan sistem transfer case dengan ciri 2H, 4H dan juga 4L. GWM Tank 300 ditawarkan sehingga 9 mod pemanduan, yang membolehkan anda memandunya mengikut keadaan permukaan jalan dan juga Crawl Mode bagi memudahkannya keluar jika tersangkut di laluan sukar. Ciri Hill Decent Control berupaya mengawal kenderaan menuruni cerun pada sudut 40 darjah dengan mudah
7. Rekaan Dalaman – GWM Tank 300 menawarkan rekaan yang hampir sama dengan Mercedes G-Wagon terutama dengan rekaan corong penyaman udara. Namun dari aspek lain seperti tombol gear, skrin berkembar 12.3 inci bagi paparan meter dan sistem multimedia adalah rekaan GWM tersendiri.
Turut ditawarkan ialah sistem pembesar suara Harman Infinity, penyaman udara automatik, cermin suria, pengecas tanpa wayar, dan juga paddle shifter di belakang stering. Bahagian kargo belakang pula menawarkan ruang sehingga 400 liter
8. Sesi pemanduan singkat – kuasa yang ditawarkan oleh enjin 2000cc petrol dan transmisi 8 kelajuan ZF ini boleh dipuji. Ia sangat senyap, lancar dan mampu membawa Tank 300 ini mendaki tangga, laluan berpasir, laluan berbatu sehingga 600 meter di atas laut dengan mudah dan selamba.
Kekuatan cesi juga boleh dipuji, tidak menghasilkan sebarang bunyi apabila “dipulas” ketika melalu halangan yang direka, malah penulis juga merasakan ia sangat senyap di laluan berpasir dan berbukit. Sistem pacuan 4H juga membolehkan ia meredah laluan pasir dan bukit dengan mudah tanpa masalah
Carian di laman sesawang pula memberikan data bahawa penggunaan bahan api boleh mencapai sehingga 11km/liter dan pecutan 0-100 boleh dibuat dalam masa 9 saat. Tiada maklumat harga untuk GWM Tank 300 setakat ini, namun untuk perbandingan Tank 300 dijual di pasaran Thailand dengan harga RM 218,000.