Artikel Pilihan

BMW BAKAL PERKENALKAN SKUTER ELEKTRIK CE 04 – 120 KM DENGAN SEKALI CAS BEB

Rupanya kenderaan elektrik terbaru BMW bukanlah sebuah kereta tapi rupanya skuter. Ia merupakan sebuah skuter dengan rupa paras futuristic dan dinamakan CE 04. Model konsepnya pernah ditunjukkan sebelum ini dan ia hampir 100 peratus sama dari segi rupa paras.

Skuter ini dikuasakan dengan motor elektrik 31kW bersamaan dengan 42 hp. Baterinya ditempatkan di bahagian belakang dan CE 04 ini boleh beroperasi sejauh 120 kilometer dengan cas penuh. Cukup sesuai untuk kegunaan di bandar. Nak konvoi jauh-jauh memang lupakan sajalah.

Proses cas semula dari 0-100 peratus bateri memakan masa 4 jam 20 minit menggunakan soket dinding biasa tapi dengan menggunakan pengecas Level 2, masa tersebut turun kepada 1 jam 40 minit. Kalau nak 80 peratus kuasa, cas selama 45 minit sudah memadai. Lagi laju dari nak cas telefon pintar pekak Abang Japar.

Kelajuan maksima 120 km/j membuatkan penunggang lebih yakin untuk memecut di atas lebuh raya. Tapi jangan bantai di lebuh raya Plus dari utara sampai selatan pulak.

Sama seperti sebuah kereta elektrik, CE 04 ini turut dilengkapi dengan sistem regenerative braking yang diaktifkan bila pendikit dilepaskan sepenuhnya. Seretan tork akan dikenakan secara automatic ke atas roda depan dan belakang untuk memastikan semuanya dalam keadaan stabil.

Oleh sebab motor elektrik boleh membuat putaran terbalik, CE 04 ini juga boleh mengundur untuk memudahkan anda keluar dari petak pakir yang agak condong ke depan. Jangan bimbang, tak laju pun speed mengundurnya.

Selain brek regeneratif, ia turut disokong dengan penggunaan sepasang cakera berkembar 265mm di depan dengan angkup 4-piston dan cakera tunggal bersaiz sama di belakang. Sistem ABS Bosch terbaru dipilih kerana kemampuannya beroperasi secara bebas antara roda depan dan belakang selain sebagai tambahan ciri keselamatan.

Empat mod tunggangan boleh dipilih dengan mod ECO untuk jarak paling maksima, mod RAIN untuk keselamatan dalam hujan, mod ROAD untuk kegunaan biasa dan mod DYNAMIC untuk prestasi. Prestasi sebuah skuter elektrik la, takkan nak sama dengan HP4 ye abang-abang.

Bila nak dipasarkan? Ia bakal dipasarkan di AS sekitar suku pertama tahun hadapan dengan harga RM50,000. Biasalah, harga BMW kot. Itu baru harga asas, kalau nak tambah pakej premium yang merangkumi sistem lampu adaptif, Ride Modes Pro, ABS Pro, kabel cas Level 2, pemanas tempat duduk dan monitor tekanan angin tayar, tambahlah lagi RM7,000! Sama dengan waisuku second hand kan?

Google ads
Back to top button