
BMW M2 2023 KINI DI MALAYSIA, PRA-TEMPAHAN DIBUKA – 460HP, BERMULA RM598K
BMW M2 akhirnya tiba di Malaysia selepas pendedahan rasmi di peringkat global beberapa bulan lalu. BMW Malaysia turut mengumumkan bahawa pra-tempahan atas talian telah dibuka.
Jentera itu berukuran 4,580mm panjang, 1,877mm lebar, 1,403 tinggi dan mempunyai jarak antara roda sepanjang 2,747mm. Sebagai perbandingan dengan M2 sebelumnya, M2 terkini lebih panjang 119mm, 33mm lebar sementara jarak antara roda meningkat 54mm. Manakala dari segi ketinggian ia dikurangkan sebanyak 11mm.
Bagi ruang muatan, BMW M2 membekalkan kapasiti berjumlah 390 liter yang agak besar bagi sebuah jentera coupé. Ruang tersebut boleh ditingkatkan dengan melipat tempat duduk belakang melalui konfigurasi 40/20/40.

Dengan penampilan gril kidney serba baharu berbentuk seakan segi empat, ia memberikan aspek penyejukan enjin serta brek yang lebih berkesan. Di bahagian belakang, BMW M2 baharu didatangkan dengan spoiler untuk meningkatkan downforce aerodinamik, peresap udara dan paip ekzos berkembar M.
BMW M2 dilengkapi rim aloi ringan M jejari berkembar 930 M Bicolour bersaiz 19 inci depan, 20 inci di belakang dan dikemaskan dengan M Shadowline berkilat. Rim itu didatangkan secara standard.
Untuk BMW M2 Pro Package pula, ia didatangkan eksklusif dengan sistem brek M Compound berwarna merah berkilat, M Carbon Roof, M Lights Shadowline dan rim aloi ringan 930 M Black pada saiz yang sama seperti M2.

Di bahagian kabin BMW M2, ia akan dilengkapi dengan skrin paparan melengkung BMW Curved Display iaitu kluster digital 12.3 inci dan skrin infotainment 14.9 inci. Digandingkan dengan Sistem Operasi BMW 8 terkini, ia didatangkan bersama aneka ‘widget’, di mana pemandu berupaya untuk melihat pelbagai maklumat mengenai kenderaan mereka dalam masa nyata.
Selain itu, ia turut dipadankan dengan paparan grafik spesifik M, tempat duduk M Sport berkuasa elektrik dengan logo M bercahaya, roda stereng M beserta paddle shifter, butang M Mode berwarna merah serta paparan head-up.
Ciri-ciri lain termasuklah sistem pencahayaan ambien, kawalan iklim tiga zon automatik, pakej ruang storan, Interior & Exterior Mirror Package serta cermin pandang belakang dengan fungsi anti-silau automatik.
BMW M2 Pro Package dipadankan dengan ciri-ciri eksklusif seperti tali pinggang keledar M, sistem audio keliling Harman Kardon serta trim dalaman gentian karbon M.
BMW M2 baharu akan disertakan dengan ciri Driving Assistant seperti amaran keluar lorong, amaran penukaran lorong, amaran pelanggaran hadapan dengan intervensi brek, amaran lintasan trafik belakang, pengelakan pelanggaran hadapan, informasi had laju, fungsi bantuan parkir serta kawalan jelajah dengan fungsi brek.

Dari segi kuasa, ia dijana oleh enjin enam silinder sebaris M TwinPower 3.0 liter dengan hamburan kuasa 460hp dan 550Nm tork. Dipasangkan dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan, enjin ini mampu menujah BMW M2 baharu dari posisi henti hingga 100 km/j dalam masa 4.1 saat sahaja, dengan kelajuan tertinggi mencecah 250km/j.
Kelengkapan standard lain bagi BMW M2 baharu termasuklah brek angkup dengan enam piston, Adaptive M Suspension dan sistem M Drive Professional.
BMW M2 baharu akan menawarkan warna eksterior untuk kedua-dua varian iaitu Zandvoort Blue, Alpine White, Brooklyn Grey, Black Sapphire dan Toronto Red. Manakala untuk upholsteri dalaman disediakan dalam bentuk Leather Vernasca berwarna hitam dengan sorotan eksklusif, Leather Vernasca berwarna hitam dengan sulaman berkontras biru serta Leather Vernasca dalam warna Cognac dengan sulaman dekor.
Anggaran harga (atas jalan, tanpa insurans) bagi BMW M2 baharu dan BMW M2 Pro baharu dengan Pakej Waranti & Servis Lanjutan 5 Tahun ialah RM598,800. Sementara BMW M2 Pro Package boleh dimiliki pada harga RM642,800.












- BACA: BMW MALAYSIA DEDAH 5 MODEL BAHARU M. M3 COMPETITION, M4 COUPE COMPETITION, M5, M5 COMPETITION DAN I4 M50
- BACA: BMW MALAYSIA BUKA PRA-TEMPAHAN GRAN COUPE ELEKTRIK i4 eDRIVE 40 M SPORT. HARGA BERMULA RM389,800
- BACA: BMW MALAYSIA & MILLENNIUM WELT LANCAR 2 FASILITI PENGECASAN DI GAMUDA GARDENS RAWANG
- BACA: BMW MALAYSIA PERKENAL BMW iX CONFIGURATOR. PAKEJ NAIK TARAF BERMULA RM3,020








