Buletin

BMW, UNIVERSITI MALAYA JALIN KERJASAMA UNTUK PEMBANGUNAN APLIKASI BATERI EV TERPAKAI

BMW Group Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Malaya (UM) bagi membangunkan penggunaan semula bateri kenderaan elektrik (EV) untuk tujuan penyimpanan tenaga dan program elektrifikasi luar bandar serta komuniti.

Melalui kerjasama strategik ini, pengeluar automotif premium itu akan membekalkan bateri EV terpakai kepada Pusat Penyelidikan Tenaga Termaju Universiti Malaya, UM Power Energy Dedicated Advanced Centre (UMPEDAC), bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan teknologi penyimpanan tenaga yang lebih mampan.

Hasil penyelidikan tersebut dijangka diaplikasikan dalam projek pembangunan komuniti menerusi Pusat Libat Urus Komuniti Universiti Malaya (UMCares) serta Pusat Pembangunan Lestari UM (UMSDC), sekali gus menyokong usaha memperluaskan akses tenaga bersih di kawasan memerlukan.

Inisiatif ini selari dengan komitmen BMW Group Malaysia terhadap amalan ekonomi kitaran dan mobiliti lestari, dengan memanjangkan kitar hayat bateri EV selepas tamat penggunaannya dalam sektor automotif.

Antara potensi aplikasi yang diteroka termasuk sistem penyimpanan tenaga statik dan penyelesaian tenaga mampan di kampus universiti.

Kerjasama tersebut turut merangkumi pembangunan kes penggunaan teknikal bateri ‘kehidupan kedua’, perkongsian kepakaran antara jurutera BMW dan warga akademik UM, selain program pembinaan kapasiti untuk pelajar serta inisiatif libat urus awam secara bersama.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel, berkata langkah itu mencerminkan komitmen syarikat untuk memastikan bateri EV terus memberi nilai jangka panjang, bukan sekadar digunakan pada kenderaan.

“Melalui kerjasama dengan Universiti Malaya, kami dapat membangunkan penyelesaian yang bukan sahaja menyokong agenda kelestarian negara, malah memberi manfaat langsung kepada komuniti sambil mengurangkan kesan terhadap alam sekitar,” katanya.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman pula menyifatkan kerjasama tersebut sebagai peluang penting untuk memanfaatkan sistem bateri berkualiti tinggi dalam usaha menangani cabaran penyimpanan tenaga.

Menurut beliau, bateri EV terpakai mempunyai potensi besar untuk menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui serta membuktikan keberkesanan konsep ekonomi kitaran dalam aplikasi dunia sebenar.

Kerjasama ini juga dilihat sebagai antara pemangkin kepada pembangunan ekosistem ekonomi kitaran dalam industri EV tempatan yang semakin berkembang, selain memperkukuh peranan sektor swasta dan institusi pengajian tinggi dalam memacu inovasi mampan.

Inisiatif berkenaan melengkapkan usaha kelestarian BMW Group Malaysia menerusi program RE:THINK dan RE:GENERATE, yang menekankan pengurangan sisa, penggunaan semula sumber dan peningkatan kecekapan rantaian nilai perniagaan melalui pendekatan reduce, reuse dan recycle.

Google ads
Back to top button