Buletin

BMW GROUP MALAYSIA JALIN KERJASAMA DENGAN PENTAS FLORA – TANGANI ISU SISA AUTOMOTIF

BMW Group Malaysia memeterai perjanjian menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pentas Flora dalam menangani isu sisa automotif, sempena acara sesi meja bulat yang mengupas perihal Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata, “Bagi kami di BMW Group Malaysia, visi kami terhadap kelestarian adalah amat jelas. Menerusi segala usaha kami untuk menangani permasalahan perubahan iklim, kami memastikan strategi kami adalah bersifat sirkular dan bertanggungjawab.”

Lebih daripada 30,000 liter sisa minyak pelincir telah dikumpul dari empat buah pusat pengedaran BMW di kawasan Lembah Klang dan dihantar ke kilang penapisan Pentas Flora di Banting untuk dijadikan minyak asas eko bertapis (EBO) sebelum diagihkan semula ke sektor automotif.

Meskipun minyak tapis adalah produk yang kompleks, tetapi ciri kebolehgunaan minyak tapis adalah tinggi.

Bagi memastikan produk akhir berkualiti seperti minyak asas dirawat tanpa kimia, ia akan melalui proses penyulingan vakum, proses prarawatan seperti penapisan, penyahairan, dehidrasi vakum, penyulingan berjarak pendek serta pelbagai lagi proses rawatan perlu dilakukan.

Kerjasama bersama Pentas Flora adalah sebahagian daripada program RE:GENERATE bagi memastikan setiap pendekatan dilakukan dengan baik. Selain menggalakkan lebih ramai penggiat industri untuk memberi tumpuan khas terhadap pengurusan sisa.

Sesi meja bulat bertemakan ESG oleh BMW Group Malaysia dan Pentas Flora membariskan nama-nama penting dari sektor awam, di samping para pakar serta penginovasi dalam bab kelestarian. Mereka telah berkongsi ilmu mengenai amalan rendah karbon, pasaran karbon sukarela, risiko ketidakpatuhan ESG, termasuklah tatatadbir untuk menjamin pertumbuhan yang lestari.

Google ads
Back to top button