
BMW MINI DIKECAM TERUK NETIZEN CHINA GARA-GARA PENGAGIHAN AIS KRIM PERCUMA
BMW Mini kini berhadapan serangan netizen dari China apabila pekerja pengeluar berkenaan didakwa melakukan diskriminasi terhadap pengunjung di Auto Shanghai 2023, baru-baru ini.
Insiden tersebut mencetuskan kekecohan di platform media sosial China, Weibo, dengan ‘BMW Mini’ menjadi topik kedua paling dicari di laman sosial itu.
Terdapat sebuah video menunjukkan dua pekerja China enggan memberikan ais krim kepada pengunjung tempatan tetapi menawarkannya kepada pengunjung dari Barat sejurus kemudian.

Menurut jurucakap BMW, pengagihan 300 ais krim telah pun selesai ketika kejadian itu berlaku.
Jelasnya lagi, “Warga asing dalam video adalah seorang pekerja BMW dan pekerja China itu hanya diupah untuk acara tersebut, bukannya pekerja sepenuh masa BMW,”
China adalah pasaran penting kepada BMW serta pembuat kereta Jerman lain, namun insiden itu menjejaskan reputasi BMW meskipun ia kelihatan isu kecil.
Oleh itu, pengguna China menjadi semakin kritikal terhadap syarikat asing atau perniagaan tempatan yang dianggap meremehkan atau tidak menghormati rakyat China.
Kejadian seperti itu jelas mendapat kritikan dari rakyat tempatan dan ia boleh mengakibatkan berlakunya protes atau aksi boikot sekali gus mendatangkan kerugian kepada pengeluar.