Artikel Pilihan

8 FAKTA MENARIK PASAL BMW, TAK RAMAI ORANG TAU

Bayerische Motoren Werke atau singkatannya BMW adalah sebuah syarikat yang diasaskan untuk menghasilkan enjin kapal terbang tentera pada kemuncak perang dunia pertama. Walaupun terkenal dengan enjin 6 silinder pada hari ini, enjin yang dibekalkan untuk kapal terbang oleh BMW sebenarnya enjin 4 silinder.

Keupayaan enjin ini dipuji oleh Red Baron, salah seorang juruterbang terkenal ketika itu. Disebabkan perjanjian Versailes, BMW tidak lagi menghasilkan enjin kapal terbang tapi menghasilkan motosikal pada tahun 1923 dan ebenarnya ada banyak lagi sejarah menarik berkenaan dengan BMW ini, mari kita tengok satu persatu fakta menarik:

1. Rekaan jeriji besar bukan benda baru – rekaan jeriji besar ini sebenarnya muncul dari tahun dari tahun 1933 lagi dengan model 303 dan trend ini kekal sehingga tahun 1970an. Ketika ini rekaan jeriji ini dirombak semula dengan menjadi kecil dan melintang. Jeriji rekaan besar ini muncul semula pada rekaan terbaru mengikut trend semasa

2. Enjin 4 silinder 1500 kuasa kuda – walaupun terkenal dengan rekaan enjin 6 silinder, BMW pernah menghasilkan enjin 4 silinder yang sangat berjaya dikenali sebagai enjin M10 SOHC. Enjin ini diperkenalkan pada tahun 1962 dengan 72 kuasa kuda dan digunakan sehingga tahun 1988.

Enjin ini juga digunakan dalam perlumbaan, diberikan pendesak turbo yang dikenali dengan varian M12, digunakan dalam perlumbaan F1 oleh pasukan Brabham dan dipandu oleh Nelson Piquet, dan diberikan boost maksima bagi menghasilkan 1500 kuasa kuda ketika sesi kelayakan.

3. Model Kereta Elektrik – ia dikeluarkan pada tahun 1972 dikenali dengan nama 1602e ataupun Elektro Antrieb. Tapi ia bukanlah dihasilkan untuk dijual kerana jarak perjalanannya hanyalah 59km sahaja untuk satu pengecasan penuh dengan menggunakan bateri plumbum.

Ia diperkenalkan ketika Jerman menganjurkan Sukan Olimpik 1972 sebagai kenderaan untuk membawa VIP di sekitar temasya dan juga kenderaan sokongan bagi sukan jarak jauh. Motor elektrik yang dipasang mampu menghasilkan 43 kuasa kuda dengan pecutan 0-100km/j dalam masa 8 saat.

4. Keluarga Quandt – merupakan keluarga industri kaya raya yang menyelamatkan BMW daripada bankrap pada tahun 1959. Mereka mengambil risiko dengan membeli 50% saham BMW yang ketika itu sedang sakit dan membiayai pembangunan model BMW 700. Nasib baik model tersebut laku keras

Quand terus memastikan keturunannya mendapat keuntungan dari BMW dan terus memegang saham BWM sehingga hari ini. Namun keluarga Quandt juga disiasat atas kaitan dengan aktiviti buruh paksa ketika era perang dunia kedua.

5. Drift Terpanjang di dunia – pada tahun 2018 Johan Schwartz melakukan drift paling jauh di dunia dengan jarak 374km dengan menggunakan BMW M5. Disebabkan enjin 4.4 turbo berkembar ini perlukan petrol tambahan, ia perlu diisi semula ketika drift berlangsung dengan menggunakan penyambung khas sebanyak 5 kali.

6. BMW Hasilkan rekaan dalaman kapal terbang – melalui subsidiari mereka iaitu BMW Designworks dengan menghasilkan rekaan untuk syarikat penerbangan Starlux, Ava Air dan juga Singapore Airlines. Malah mereka juga menghasilkan rekaan dalaman bagi kereta api BART di San Francisco

7. Bergurau ala-ala BMW – Satu agen penjual rasmi BMW di New Zealand meletakkan iklan sempena April Fool yang bertajuk ” Tawaran Istimewa BMW, tukar kereta buruk anda dengan BMW”. Kebanyakan pengguna yang melihat iklan ini beranggapan bahawa ini adalah guraun kejam semata-mata

Tapi seorang pemandu wanita berani datang dan bertanyakan iklan tersebut samaada boleh menukar BMW tersebut dengan sebuah Nissan lama. Walaupun beranggapan mungkin pengedar tersebut memberikan kereta mainan, tapi pengedar BMW tersebut memberikan sebuah BMW 1 Series bernilai 50,000 USD secara percuma kepada wanita tersebut

8. Anda masih boleh beri alat ganti original BMW lama – dengan menggunakan program khas BMW Classics Programme untuk kereta-kereta lama BMW. Malah BMW sanggup membeli semula tapak kilang mereka di Munich bagi tujuan restorasi, servis, alat ganti dan bilik pameran BMW klasik terus daripada BMW. Tapi harga dia tak semurah beli part Axia la kan

Anda ada pengalaman menarik bersama BMW anda? Kongsikan di ruangan komen nanti.

Google ads
Back to top button