Buletin

BORGWARD BAKAL FAILKAN KEBANKRAPAN BULAN DEPAN. BANKRAP LAGI

Pengeluar kenderaan Borgward dilapor akan memfailkan kebankrapan pada awal bulan depan. Perkara itu didedahkan oleh beberapa sumber yang boleh dipercayai. 

Ini merupakan kali kedua Borgward berada dalam situasi sukar begitu. Kali pertama syarikat itu bankrap ialah pada tahun 1961. “Jenama ini tidak akan berjaya, tiada pembeli yang berminat untuk ambil alih. Jadi, memfailkan kebankrapan adalah pilihan terbaik,” kata sumber. 

Borgward yang merupakan jenama dari Jerman dibeli oleh syarikat China, BAIC Foton pada tahun 2014. Pada Mac 2019, penyedia perkhidmatan pemanduan di China, Ucar telah membeli 67 peratus saham syarikat berkenaan dengan harga 4.109 bilion yuan (RM2.6 bilion). 

Ramai kakitangan Borgward mendedahkan bahawa dalam usaha membantu Borgward memasuki pasaran kenderaan mewah, Foton memasarkannya sebagai satu jenama dari Jerman. Namun, pelaburan besar itu nampaknya gagal. 

Foton lebih fokus kepada pasaran kenderaan komersial. Ini membuatkan jenama Borgward sukar untuk berkembang di bawah Foton. 

Data daripada Persatuan Kenderaan Penumpang China menunjukkan jualan bulanan Borgward hanya 430 unit, jatuh sebanyak 40.3 peratus berbanding tahun lalu. Jualan kumulatif untuk lima bulan pertama tahun ini juga merudum sebanyak 41.3 peratus kepada 2,627 unit. 

Pada tahun 2019, jualan Borgward adalah sebanyak 54,500 unit. Namun, ia hanya mampu mencatat jualan 8,740 unit pada 2020 berikutan skandal penipuan Luckin Coffee. 

Malaysia sebenarnya ada menjual model Borgward BX5 yang cuba untuk bersaing dengan SUV segmen C seperti Honda CR-V, Mazda CX-5, Proton X70 dan Volkswagen Tiguan. Walaupun harganya agak murah, namun ia gagal menarik minat pembeli di sini. 

Google ads
Back to top button