Buletin

BUDAK BAWAH UMUR CURI 46 KERETA SEBAB BOSAN DIKUARANTIN

Perintah Kawalan Pergerakan atau kuarantin untuk mengekang penularan wabak COVID-19 sememangnya memberi kesan kepada manusia. Kebosanan yang melanda kerana terpaksa tinggal di rumah membuatkan ramai yang hilang pertimbangan. 

Di South Carolina, polis Columbia sebelum ini memberi amaran mengenai satu cabaran di Snapchat dalam kalangan remaja. 

Mereka dicabar untuk merakam selfie dengan kereta curi sebanyak mungkin. Mengambil inspirasi daripada cabaran tersebut, sekumpulan remaja di Winston-Salem tidak melakukan selfie, tetapi menyimpan kereta curi tersebut. 

Blog Charlotte Observer melaporkan sejak 17 Mac lalu, seramai 19 orang remaja berusia 9 hingga 16 tahun telah memecah masuk 13 buah pengedar kenderaan sebanyak 20 kali. Hasilnya, mereka berjaya mencuri 46 buah kereta bernilai AS$1.1 juta (RM4.7 juta). 

Mereka mencuri model baharu dan kereta yang dihantar untuk diservis melibatkan jenama Audi, Chevrolet, Ford, Honda, Lexus, Subaru, Toyota dan Volvo. 

Ia bermula dengan sekumpulan kecil remaja dengan sebahagian daripada mereka memang diketahui oleh pihak berkuasa sebagai pernah ditangkap sebelum ini. Seorang leftenan polis Jabatan Polis Winston-Salem memberitahu remaja itu berbuat demikian mungkin kerana bosan dikuarantin. 

“Kejayaan mencuri pada peringkat awal menjadi punca jenayah berkenaan terus dilakukan. Apabila rakan-rakan melihat kereta baharu itu, mereka berkongsi bagaimana mencurinya,” jelasnya. 

Setakat ini, polis sudah menjumpai 40 kereta yang dicuri dan tahu siapakah dalangnya. Tetapi mereka tidak boleh ditahan kerana bawah umur. Jadi polis perlu mendapatkan arahan tangkapan daripada Jabatan Juvana Wilayah Forsyth, di mana budak-budak itu akan ditahan. 

Satu-satunya tangkapan yang telah dibuat ialah seorang remaja berusia 19 tahun. Dia ditangkap di dalam sebuah kereta curi dan kini dimasukkan ke dalam Pusat Tahanan Wilayah Forsyth. 

“Siasatan ke atas kes ini masih berjalan memandangkan masih ramai yang belum ditangkap,” kata polis. 

Tags
Google ads
Back to top button