Buletin

ADA YANG BERANI TIRU? SSANGYONG JUAL KERETA TANPA BUNGA (FAEDAH)

Kita sekarang sudah menghampiri hujung tahun. Berdasarkan trend tahun-tahun sebelum, pengeluar kenderaan akan mula membuat promosi habis-habisan bagi mencapai sasaran jualan tahunan. Ada juga yang mahu menghabiskan stok pengilangan tahun ini.

Jika hendak berjimat boleh dikatakan inilah tempoh yang sesuai untuk membuat pembelian. Lazimnya tarikan yang popular ialah memberi rebat daripada harga jualan atau menawarkan insentif seperti servis percuma.

Di United Kingdom SsangYong pergi lebih jauh dengan menawarkan pembiayaan tanpa faedah dan duit muka. Model yang ditawarkan ialah varian diesel Tivoli, Tivoli XLV, Korando SE dan SE 4×4.

Model popular seperti varian petrol Tivoli, Tivoli XLV dan Korando SE pula ditawarkan dengan pembiayaan tanpa faedah bagi tempoh dua tahun.

Jadi apa yang menariknya tentang perkara ini?

SsangYong Korando ELX 4×4

Skim ini sesuai untuk mereka yang tidak gemarkan ‘riba’ dalam pembiayaan kenderaan. Riba atau patuh syariah mungkin tidak tepat kerana ia memerlukan beberapa mekanisma lagi tetapi apa yang penting jika harga RM 50,000 maka anda bayar angka mutlak tersebut tanpa apa-apa tambahan.

Lebih istimewa tidak perlu bayar muka pun.

Satu lagi perkara menarik tentang pakej ini ialah tempoh pembiayaan selama lima tahun manakala pakej waranti pula lebih lama iaitu tujuh tahun dengan jarak perbatuan 241,401 km!

Jadi apa lagi yang pembeli mahu? Inilah impak persaingan kompetitif di UK.

SsangYong Tivoli XLV

Selain itu kenderaan SsangYong di UK memang mampu milik. Sebagai contoh, Tivoli ELX dan XLV dan Korando 2WD semuanya di bawah GBP 20,000 (RM 109,595).

Jika dibuat kira-kira, ansuran bulanan model paling murah iaitu Tivoli ELX diesel baru GBP 235 sebulan! Tidak sampai GBP 300 dah boleh dapat kereta baharu.

Timbul pula satu persoalan atau isu, murahnya kereta di UK dan mahalnya kereta di negara kita. Bukan soal murah atau mahal, kunci sebenar dalam isu ini ialah taraf hidup rakyat UK memang tinggi.

Apa yang kerajaan perlu kejar tidak semestinya kereta murah tetapi rakyat berpendapatan tinggi agar kereta di negara kita begitu murah untuk dibeli.

BACA: MASIHKAH DIKAU INGAT? SSYANGYONG STAVIC?

Google ads
Back to top button