Buletin

APA? CERMIN SISI? LEXUS ES GUNA KAMERA GANTI CERMIN

Sekarang ini ada dua trend yang ditawarkan oleh pengeluar dalam model baharu. Trend pertama ialah teknologi bantuan pemanduan seperti yang boleh didapati pada Honda CR-V dan SUV pertama Proton X70. Trend kedua ialah meter digital seperti Volvo terkini dan juga sekali lagi pada Proton X70.

Semakin lama kelengkapan tersebut menjadi biasa sebagaimana enam beg udara yang kini boleh didapati pada model rakyat seperti Proton Iriz dan Perodua Myvi.

Apakah pula teknologi yang bakal menjadi trend akan datang?

Di antaranya ialah cermin sisi tanpa cermin. Tanpa cermin? Jadi apakah yang hendak dipanggil?

Lexus memanggilnya sebagai Digital Outer Mirrors dan ia adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan bakal diperkenalkan pada ES baharu.

Melalui kamera kecil yang dipasangkan pada sisi pintu depan, Lexus ini memberikan pemandangan sekeliling lebih jelas berbanding cermin konvensional.

Kamera tersebut akan memaparkan visual pada skrin bersaiz lima inci yang diletakkan pada sebelah dalam pintu.

Selain pemandangan lebih jelas, bekas yang menempatkan kamera direka supaya tidak mengumpul air hujan atau salji agar tidak menganggu penglihatan pemandu.

Sistem yang menyokong kamera ini akan menghalusi pandangan secara automatik pada bahagian kanan, kiri atau belakang apabila indikator isyarat diaktifkan atau gear undur dipilih.

Selain berfungsi secara automatik, pemandu juga boleh melaras sendiri pandangan secara manual mengikut pilihan peribadi.

Penggantian cermin sisi kepada kamera yang kecil turut mempunyai kelebihan lain apabila ia tidak lagi menghalang pandangan ke luar kenderaan dan dapat memberikan pandangan lebih baik. Bunyi angin turut dikurangkan dan hasilnya ialah suasana dalam kabin lebih senyap.

Teknologi baharu dan canggih ini walaubagaimanapun belum boleh dinikmati penduduk global melainkan di Jepun kerana Lexus mahu memperkenalkannya pada ES di pasaran sana terlebih dahulu pada penghujung Oktober depan.

Lama kelamaan trend teknologi ini akan menjadi biasa. Selepas ini ia bakal diikuti oleh Audi E-Tron pula dan sebelum itu lagi Honda telah pun memperkenalkannya melalui Honda Accord dan CR-V yang dipanggil sebagai Honda LaneWatch. Tidak sama tetapi hampir serupa.

BACA: AUDI E-TRON PROTOTYPE – CUBA PERHATI CERMIN SISI SUV INI

BACA: WARNA KERETA LEXUS DIINSPIRASI DARI RAMA-RAMA – HASIL KAJIAN SELAMA 15 TAHUN

Google ads
Back to top button