Buletin

DATSUN GO DAN G0+ REMIX LIMITED EDITION – RANGGI TAK?

Dalam industri automotif tidak semua pengeluar fokuskan kepada kereta berteknologi tinggi dan canggih. Masih ada pengeluar yang memberi tumpuan kepada kereta yang ringkas dan menjimatkan.

Contohnya ialah Dacia dan Datsun yang bernaung di bawah gabungan Renault-Nissan-Mitsubishi (Alliance). Jika tidak mempunyai jenama khusus pun pengeluar tetap menghasilkan beberapa model ekonomi seperti Honda Brio, Daihatsu Sigra dan Toyota Agya.

Model-model seperti ini biasanya dipasarkan di negara membangun bagi memenuhi permintaan pasaran yang mahukan kereta ekonomi.

Sama seperti Datsun, tidak semua negara ditawarkan dengan jenama ini termasuk Malaysia. Walaupun pembeli negara kita agak sensitif dengan harga tetapi mereka agak cerewet dengan apa yang ditawarkan pengeluar.

Mahal tidak mengapa janji berbaloi oleh itu tidak hairan mengapa jualan jenama luar seperti Honda dan Toyota begitu tinggi.

Salah satu model ekonomi Datsun ialah GO dan Datsun GO+. Model ini dipasarkan di India dan bagi merancakkan tawaran, Datsun menawarkan varian baharu untuk kedua-dua model tersebut iaitu Remix Limited Edition.

Satu perkara menarik tentang GO dan GO+ ialah saiznya. GO ialah kereta kompak dengan lima penumpang manakala GO+ pula adalah versi MPV dengan enam penumpang.

Senang bukan? Tidak perlu susah-susah fikirkan nama baharu.

Datsun GO Remix tampil ranggi dengan warna eksklusif Onyx black dengan grafik jingga. Ia juga turut ditawarkan dengan warna dua tona Storm white dengan grafik jingga dan hitam.

Ciri-ciri yang ditampilkan agak banyak dengan sembilan pembaharuan seperti kawalan bebas kunci, audio bebas tangan Bluetooth, balutan kerusi trendi, gril hitam, penutup tayar, dalaman hitam piano, spoiler bumbung, muncung ekzos dan kemasan bamper krom.

Satu lagi perkara menarik tentang GO dan GO+ ialah saiz enjin yang kecil iaitu 1.2 liter. Selain itu kedua-dua model tidaklah ‘cikai’ sangat kerana turut dilengkapi lampu follow-me-home, stereng elektrik mengikut kelajuan kenderaan dan slot USB.

Kedua-dua model ini ditawarkan dengan waranti dua tahun dengan jarak perbatuan tanpa had dan bantuan terkandas percuma.

Waranti ini boleh dipanjangkan sehingga lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had dan bantuan terkandas percuma menjadikan Datsun sebagai pengeluar pertama yang menawarkan pakej waranti lanjutan seumpamanya.

Harga Datsun GO Remix bermula dari RM 27,537 (4.21 lakh) manakala GO+ Remix pula bermula dari RM 29,238 (4.99 lakh).

Memang murah kan? Tetapi sesuai tidak dengan citarasa pasaran tempatan? Pada kami biarkan pasaran yang tentukan dan ia merupakan persaingan sihat dengan Perodua.

BACA: KE AFRIKA SELATAN KE KITA? ADA MUZIUM DATSUN YOB!

BACA: DATSUN GO-live – RM38K & BOLEH LAWAN PERODUA AXIA/MYVI?

Google ads
Back to top button