
BULLETPROOF AUTOMOTIVE ‘BERI NYAWA’ S2000 PALING POWER — LEBIH 580HP!
Walaupun sudah 15 tahun berlalu sejak Honda S2000 dihentikan pengeluarannya, legenda roadster ini masih belum hilang aura.
Terbaru, syarikat talaan berpengkalan di Los Angeles, Bulletproof Automotive, menghidupkan semula semangat S2000 dengan sebuah binaan yang cukup ekstrem, digelar BP25, sempena ulang tahun ke-25 syarikat itu.
Jantung kepada jentera ini ialah enjin 2.0 liter empat silinder baharu yang dilengkapi supercharger Vortech V2-Si, menghasilkan lebih 580 kuasa kuda pada 9,300rpm dan mampu mencecah rev maksimum 10,000rpm.

Sistem ekzos titanium Amuse, sistem bahan api berprestasi tinggi Injector Dynamics, dan penyejuk haba perlumbaan daripada Science of Speed turut dipadankan untuk memastikan prestasi kekal stabil di puncak rev.
Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi manual enam kelajuan Honda AP2 dengan short shifter, flywheel ACT, serta diferensial terhad ASM dan Drexler.
Untuk cengkaman dan pengendalian, BP25 dilengkapi Top Secret Super Dampers Coilover bersama komponen talaan daripada J’s Racing, Spoon, dan EVS.

Dari segi rupa, S2000 ini tampil garang dengan kit badan lebar Varis Dark Panther, lengkap dengan panel gentian karbon, bonet berliang udara, sayap belakang besar dan penutup but ringan.
Warna badannya pula bukan sebarangan, Lamborghini Balloon White, warna yang sama digunakan pada kereta pertama Bulletproof, Concept One.
Ia turut memakai rim BP-RW Evolution 19-inci yang diinspirasikan daripada teknik tukangan Jepun Tsuchime, dibalut dengan tayar Toyo Proxes R888R saiz 295/30ZR19. Di sebalik rim tersebut tersembunyi brek Brembo Pista enam piston di depan dan empat piston di belakang.

Bahagian dalaman tidak kurang hebatnya, dengan kerusi perlumbaan RS-G Limited Edition, roll bar dan stereng Mugen, serta tali pinggang perlumbaan Willians FIA. Kabin dihiasi Alcantara hitam pada papan pemuka, panel pintu dan siling bagi memberi sentuhan mewah.
Honda S2000 BP25 ini dipertontonkan buat pertama kali di SEMA Show di Las Vegas, dan akan menjadi tarikan utama sehingga 7 November.
Sebuah penghormatan yang sempurna untuk kereta sports ikonik yang terus menjadi kegilaan peminat hingga ke hari ini.
- BACA: KERAJAAN SEDIA KAEDAH TERBAIK KURANGKAN IMPLIKASI KENAIKAN HARGA KERETA TEMPATAN
- BACA: ROLLS-ROYCE PHANTOM CENTURY – SIMBOL KEJAYAAN DAN KEKAYAAN YANG DIBINA HANYA 25 UNIT SAHAJA
- BACA: GWM TANK 400 SERBA BAHARU DILANCARKAN DI CHINA – HARGA SEKITAR RM165K
- BACA: HONDA CARI BALIK RASA ‘FUN TO DRIVE’ DENGAN TEKNOLOGI DARI PRELUDE!




