HONDA S2000 ADA AKSESORI 20 TAHUN, RAI USIA 2 DEKAD!
Di antara model Honda yang diperkenalkan pada tahun 1999 ialah MPV Odyysey generasi kedua (RA6) dan roadster dua pintu S2000. Iya, kedua-dua model diperkenalkan pada tahun yang sama.
S2000 walaupun sudah melepasi usia 20 tahun masih nampak anggun dan tidak seperti kereta yang diperkenalkan lebih dua dekad lalu. Harganya pula sentiasa terpelihara dan mempunyai peminat tersendiri.
S2000 dikeluarkan selama sepuluh tahun dan ditamatkan pada 2009. Sepanjang tempoh tersebut ada dua versi utama iaitu AP1 (1999 – 2003) dan AP2 (2004 – 2009).
Dalam tempoh tersebut ada beberapa varian istimewa seperti Club Racer (AS), Type S (Jepun), GT (UK) dan Ultimate Edition dan GT Edition 100 (Eropah).
Walaupun sudah lama ditamatkan, tidak kurang yang merindui kereta ini. Suatu yang mengujakan apabila Honda Access Co., Ltd. menawarkan pakej aksesori tulen bagi memperingati ulang tahun ke-20 S2000.
Pakej yang dikenali sebagai S2000 20th Anniversary Genuine Accessories ditawarkan bermula 26 Jun 2020 di Jepun.
Honda membuka pra-tempahan pada 20 Februari 2020 dan mereka yang berminat harus cepat kerana tawaran ini tamat pada 19 Februari 2021.
Satu perkara menarik tentang aksesori ini ialah Honda membangunkannya dengan konsep minor model change (MMC) 20 tahun. Walaupun tanpa model baharu, Honda memberi ubat rindu dengan aksesori ini.
Satu lagi perkara menarik ialah aksesori luaran tidak dibuat untuk estetika sahaja. Honda membangunkannya dengan fokus untuk menambah baik prestasi di selekoh.
Di antara komponen yang ditawarkan ialah bampar depan aero, spoiler duck tail dan strake belakang yang dipasang pada bahagian bawah kereta dan di dalam arka roda belakang bagi mengurangkan rintangan angin.
Berikut ialah senarai dan harga aksesori Honda S2000 20th Anniversary Genuine Accessories:
Bampar depan aero | 96,800 yen | |
Spoiler duck tail (Tidak boleh dipasang pada Type S) | 46,200 yen | |
Strake belakang | 33,000 yen | |
Suspensi sport | Lima larasan (500 unit sahaja) | 170,500 yen |
Audio lid (penutup konsol) | 2000 unit sahaja | 8,800 yen |
Alas kaki | Hitam dengan penutup cross member | 30,800 yen |
Merah dengan penutup cross member | 30,800 yen | |
Lampu ruang kaki | Nyalaan LED putih pada kedua-dua sisi pemandu dan penumpang |
13,200 yen |
Penutup kereta jenis separuh | 18,700 yen |
Walaupun Honda memberikan tempoh setahun untuk pembelian, tawaran adalah dalam jumlah terhad yang bermakna, siapa cepat dia dapat.
Tempahan yang dibuat pula mengambil masa sekitar empat bulan sehingga penghantaran di Jepun. Tempoh yang diambil mungkin berlanjutan mengikut status pesanan.
BACA: HONDA JAZZ VERSI EROPAH, SPESIFIKASI TIP TOP!
BACA: PADA 2005 HONDA RIDGELINE DIPERKENAL – ENJIN VTEC 3.5L!