
BUMBUNG KACA PANAROMIC, CIRI MODEN PALING TAK GUNA DI MALAYSIA
Bagi saya tulis dengan tepat dan terus pada poin utama, selain ciri Start/Stop yang selalu digerami oleh Abang Japar satu lagi ciri moden yang mengarut dan tak masuk akal bagi cuaca di Malaysia ialah bumbung kaca panaromic
Persoalan utama ialah, kenapa bumbung kaca panaromic ini diperkenalkan?
Sekiranya anda perhatikan, bumbung kaca panaromic ini menjadi popular bagi kereta elektrik. Salah satu kelemahan rekaan kereta elektrik ialah bateri 400v atau 800v yang digunakan biasanya akan “ditanam” di dalam lantai platform
Disebabkan rekaan ini, bateri akan memakan ruang lantai dan jurutera perlu menaikkan sedikit “hip poin” bagi kusyen untuk posisi kedudukan yang lebih baik. Namun tindakan ini akan menyebabkan kepala penumpang akan menjadi rapat ke bumbung terutama untuk penumpang belakang
Bagi menawarkan ilusi ruang kepala yang luas, maka jurureka bentuk akan menawarkan bumbung kaca pada pelanggan. Taktik ini akan menjadikan mata kita melihat ruang kepala sangat lapang, walhal yang sebenar adalah sebaliknya
Namun pada masa yang sama ia menawarkan pengalaman pemanduan dan rasa poyo pada pemilik kenderaan seolah-olah bumbung kaca panaromic adalah pilihan yang lebih menarik, hebat dan nampak mahal berbanding dengan bumbung biasa
Jika kereta EV atau ICE yang dipasang dengan bumbung kaca dipandu di negara 4 iklim dengan suhu pada musim panas sekitar 20 darjah Celcius, tiada masalah besar. Namun negara kita berada di garisan khatulistiwa dengan matahari tegak di atas kepala hampir sepanjang tahun
Walaupun anda telah memasang penapis filem yang paling mahal sekalipun, haba dan bahang panas dari matahari akhirnya akan sampai juga pada pemandu menjadikan seolah-olah kereta kita sebagai oven atau sauna bergerak
Berbeza dengan kereta biasa yang menggunakan logam, logak bersifat telap cahaya dan tidak membenarkan cahaya melaluinya. Walaupun akhirnya bumbung logam akan menjadi panas, ia dilapisi dengan satu penebat haba yang tebal bagi mengelakkan ruang kabin menjadi panas.
Oh ya, walaupun bumbung kaca ini biasa ditemani dengan bidai fabrik atau teknologi elektrokromik, ia masih tidak cukup. Fabrik kain hanya menghalang sinaran cahaya matahari sahaja, ia tidak cukup untuk menghalang haba daripada kaca merebak masuk dalam kabin
Kesannya ialah, sistem penyaman udara kereta anda perlu bekerja dengan lebih keras semata-mata untuk menyejukkan kereta anda daripada panas matahari. Jika kereta anda menggunakan bahan api petrol, penggunaan petrol akan meningkat.
Bagi kereta elektrik, bumbung kaca panaromic ini sebenarnya “mencuri” elektrik daripada bateri kereta anda dan sedikit sebanyak mengurangkan jarak perjalanan kereta anda. Ya, cuba matikan penyaman udara dan tengok berapa jauh kereta elektrik boleh dipandu apabila penyaman udara dimatikan
Bagi kaki “lenjan selekoh” penambahan berat kaca di bahagian atas kereta bukanlah aspek yang bagus dalam pengendalian kenderaan. Sekeping kaca akan sentiasa lebih berat dari sekeping logam untuk dijadikan bumbung
Meletakkan objek berat di atas bumbung akan menyebabkan pusat graviti kenderaan meningkat naik dan akhirnya menyebabkan pengendalian kenderaan terjejas. Kereta akan mudah mengalami masalah olengan cesi (roll), mendap ke depan bila brek (dive) dan squat apabila memecut
Tambah menyakitkan hati ialah objektif bumbung kaca panaromic membenarkan bumbung ini dibuka dan ditutup untuk membenarkan udara segar masuk ke dalam kabin. Sekiranya anda memandu di kawasan luar bandar dengan udara nyaman, ia amat sesuai
Jika anda memandu di kawasan bandar yang kaya dengan bahang panas, habuk, asap lori, bau diesel bas dan bunyi bising motor mat rempit, lupakanlah hajat tersebut. Ciri bumbung kaca ini akhirnya hanya nampak wow, jarang digunakan dan akhirnya menjejaskan dinamik pengendalian, menjadikan kabin panas dan mengurangkan kecekapan trenkuasa kereta anda