Artikel Pilihan

BYD KINI MEMPUNYAI KAPAL KARGO MEGA SENDIRI UNTUK EKSPORT KERETA – AMACAM TESLA?

Tahun lepas menyaksikan China berjaya mengatasi negara lain sebagai pengeksport kereta terbesar di dunia dan dijangkakan penguasaan mereka bakal berterusan. Bulan ini pula sebuah kapal kargo mega baharu dilancarkan di China dan dijangkakan akan memulakan pelayaran untuk menghantar muatan kereta ke Eropah. Fuh macam gaya penjajahan zaman dahulu kala je kan?

Milik siapakan kapal mega ini? Ia dinamakan BYD Explorer No.1 dan semestinya ia adalah syarikat automotif terbesar China, BYD. Ia mampu memuatkan 7,000 kenderaan dalam satu masa dan diletakkan di bawah pengurusan Zodiac Maritime Ltd. dan dibina oleh International Marine Cotainer Co.

Kapal ini merupakan salah satu komponen penting dalam strategi perkembangan BYD. Mereka merupakan pengeluar kenderaan terlaris di China walaupun gagal mengatasi Tesla selaku pengeluar EV terbesar sepanjang tahun 2023. Tapi kena ingat mereka masih berjaya mengatasi Tesla pada suku terakhir tahun lepas. Tahun ni belum tahu lagi macam mana.

Bagi memastikan usaha mereka untuk menjadi pendahulu nombor satu berhasil, mereka akan mengembangkan pasaran ke seberang laut dan pasaran utama semestinya ialah di Eropah di mana BYD Explorer No.1 akan belayar untuk pertama kali.

Ia memulakan pelayaran dari Longkou sebuah bandar pelabuhan di utara China sebelum singgah di Yantai pada 9 Januari. Kini ia sedang belayar ke Shenzen, lokasi ibu pejabat BYD dan dari sana ia akan meneruskan pelayaran ke Eropah.

Kebangkitan industri automotif China telah membimbangkan negara-negara Eropah membuatkan mereka memberikan lebih subsidi kepada industri tempatan dan mengenakan tariff yang lebih tinggi kepada syarikat-syarikat China.

Pelancaran BYD Explorer No.1 memang tepat pada masanya kerana dunia sekarang mengalami kekurangan kapal kargo selepas banyak yang telah dilupuskan sewaktu pandemik beberapa tahun lepas. Ia mengakibatkan kenaikan kos sewa kapal dan sekaligus menaikkan kos eksport.

BYD Explorer No.1 mempunyai jarak operasi pelayaran sejauh 15,800 batu nautika dan menggunakan gas asli sebagai bahan bakar. Ia dikatakan lebih bersih berbanding bahan api tradisional yang biasa digunakan oleh kapal kargo sebelum ini.

Google ads
Back to top button