Buletin

BYD SEAGULL 2025 FACELIFT DILANCARKAN DI CHINA – TIGA VARIAN, JARAK GERAK 405KM, HARGA BERMULA RM45K

BYD secara rasmi melancarkan model facelift bagi hatchback elektrik sepenuhnya, BYD Seagull 2025 di China.

Model ini hadir dengan tiga varian yang ditawarkan pada julat harga antara 69,800 hingga 85,800 yuan (sekitar RM45,000 hingga RM55,000).

Varian yang ditawarkan adalah seperti berikut:

  • Vitality Edition: (Bateri 30.08kWh, jarak 305KM): 69,800 yuan (RM45,000)
  • Freedom Edition: (Bateri 30.08kWh, jarak 305KM): 75,800 yuan (RM49,000)
  • Flying Edition: (Bateri 38.88kWh, jarak 405KM): 85,800 yuan (RM55,000)

Sebagai model facelift, BYD Seagull 2025 tidak mengalami banyak perubahan ketara dari segi reka bentuk, namun beberapa trim kini dilengkapi dengan konfigurasi baru seperti pelarasan elektrik untuk tempat duduk hadapan.

BYD Seagull 2025 ditawarkan dalam empat pilihan warna luaran: Arctic Blue, Warm Sun White, Polar Night Black, dan Peach Pink.

Untuk bahagian dalamannya, ia hadir dengan dua pilihan warna: Deep Ocean Blue dan Dune Pink.

Reka bentuk luaran BYD Seagull 2025 mengekalkan dimensi yang sama seperti model sebelumnya dengan panjang, lebar, dan tinggi masing-masing berukuran 3,780/1,715/1,540mm dan jarak roda 2,500mm.

Perubahan kecil dapat dilihat adalah pada logo di bahagian belakang yang kini hanya tertulis “BYD” menggantikan “BUILD YOUR DREAMS” manakala reka bentuk hadapan kekal seperti sebelumnya.

Bagi rim, Vitality Edition dilengkapi dengan rim 15-inci manakala dua varian lain hadir dengan rim aloi aluminium 16-inci baru.

Di bahagian dalam, BYD Seagull 2025 juga mengekalkan rekaan dari versi sebelumnya, dengan panel instrumen 7-inci terapung dan skrin kawalan pusat berputar 10.1-inci yang dipadankan dengan platform BYD DiLink.

Freedom Edition dan Flying Edition pula dilengkapi dengan panel pengecasan tanpa wayar untuk telefon bimbit serta sokongan pemanasan tempat duduk hadapan dan pelarasan elektrik enam hala untuk tempat duduk pemandu.

Konfigurasi standard lain termasuklah kemas kini OTA, empat pembesar suara, Bluetooth, interaksi suara, WiFi dalam kereta, rangkaian 4G, dan kunci tanpa anak kunci.

BYD Seagull 2025 dikuasakan oleh motor sinkron magnet kekal dengan kuasa maksimum 74hp dan tork 135Nm, dipadankan dengan bateri BYD Blade.

Vitality Edition dan Freedom Edition dilengkapi dengan pek bateri 30.08kWh yang memberikan jarak CLTC sejauh 30km, manakala Flying Edition hadir dengan pek bateri 38.88kWh, menawarkan jarak gerak CLTC 405km.

Keseluruhan siri ini mampu mencapai kelajuan 0 – 50 km/j dalam masa 4.9 saat.

Dengan pengecasan pantas DC, bateri boleh dicas semula dari 30 peratus hingga 80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2024, BYD Seagull mencatatkan penjualan sebanyak 191,037 unit, menunjukkan permintaan yang tinggi untuk model ini di pasaran China.

Google ads
Back to top button