
WDW2024 PECAH REKOD DENGAN LEBIH 94,000 PENGUNJUNG DARI 86 NEGARA
World Ducati Week 2024 telah diangkat sebagai antara acara motosikal terbesar dunia sejak penganjuran sulung pada 1998 yang ketika itu bermula sebagai program publisiti kilang.

Ini kerana edisi 2024 menyaksikan WDW merekodkan kedatangan lebih 94,000 pengunjung dari 86 negara termasuk Malaysia.
Menurut Ducati, WDW2024 juga berjaya meninggalkan 17 juta kesan (impression) di media sosial dengan sebahagian besar berkait dengan acara Race of Champions yang menyaksikan Francesco Bagnaia muncul juara.
Tidak lupa juga insiden melibatkan Marc Marquez dan Nicolo Bulega yang telah mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

“World Ducati Week merupakan acara yang paling tepat merangkumkan misi jenama ini untuk menawarkan pengalaman terbaik kepada peminat dengan menggabungkan teknologi dan keindahan jentera Itali dengan penuh gaya.
“Angka tinggi ini jadi bukti bahawa minat terhadap jenama Ducati semakin meningkat. Saya mahu berterima kasih kepada setiap pengunjung tetapi juga kepada kakitangan Ducati yang telah berusaha keras untuk menjadikan acara ini berjaya,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali.

Dalam pada itu, Domenicali turut meluahkan penghargaan kepada pelumba Ducati kerana mengosongkan jadual mereka meskipun dengan masing-masing sibuk dengan MotoGP dan WorldSBK.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ducati Corse, terutamanya kepada pelumba yang menjadi hero WDW kali ini kerana memberikan persembahan terbaik sewaktu Race of Champions,” tambahnya.
Bagaimanapun, tumpuan peminat Ducati di WDW2024 pastinya terarah pada kemunculan Panigale V4 generasi terbaru.

Selain menawarkan spesifikasi dan perincian serba baharu, jentera baharu itu juga berjaya merekodkan 1 minit 35.4 saat (oleh Bagnaia) di Litar Misano, hanya 3.2 saat dibelakang catatan masa yang dilakar jentera MotoGP.
GALERI: WORLD DUCATI WEEK 2024













