Buletin

BYD SEAL U DM-i, SUV HIBRID PLUG-IN MASUK EROPAH!

BYD Seal baru sahaja dilancar di pasaran tempatan dan berjaya menarik perhatian dengan harga dan pakej yang ditawarkan.

Untuk makluman, BYD merupakan pengeluaran kenderaan tenaga baharu atau NEV yang bermakna syarikat turut menawarkan kenderaan hibrid plug-in atau masih menggunakan enjin.

Terbaru BYD memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) SEAL U DM-i untuk pelanggan Eropah di Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva 2024.

Di China, SUV ini dikenali sebagai Song Plus Champion Edition dan versi PHEV dilengkapi enjin 1.5 liter dan perkakasan elektrik.

U merujuk kepada Utility dan SEAL U DM-i menggunakan teknologi Super DM atau Dual Mode dan model pertama BYD dengan teknologi itu diperkenal di Eropah.

Idea di sebalik kenderaan hibrid plug-in ialah pemandu tidak semestinya perlu mengecas untuk menambah tenaga dan sesuai untuk kawasan yang kekurangan pusat pengecasan.

Teknologi DM-i menggabungkan enjin bercekapan tinggi, sistem hibrid elektrik, bateri Blade buatan khas dan pengecas dalaman AC/DC.

Sistem hibrid elektrik mengutamakan pemanduan elektrik dan kurang bergantung kepada enjin untuk kuasa bagi mengoptimumkan kecekapan melalui penggunaan bahan api yang rendah.

Teknologi Super DM BYD turut merangkumi motor elektrik kuasa tinggi dan bateri Blade dengan teknologi pemanasan nadi (pulse heating) sebagai ciri asas.

Teknologi itu yang pertama di dunia meningkatkan kecekapan pemanasan dengan tambahan sekitar 10 peratus. 

Di pasaran China, enjin 1.5 liter Song Plus Champion Edition DM-i menghasilkan 110 kuasa kuda (hp) dan motor elektrik berkuasa 197 hp.

Terdapat dua jenis bateri yang ditawarkan iaitu dengan jarak pemanduan 110 kilometer (km) dan 150 km.

Selain PHEV, SUV ini juga mempunyai model elektrik dengan jarak pemanduan 520 km dan 605 km.

Ciri-ciri BYD SEAL U DM-i Eropah:

  • SUV segmen D
  • Lima tempat duduk
  • 4,775 mm (panjang), 1,890 mm (lebar), 1,670 mm (tinggi), jarak roda 2,765 mm
  • Pengecasan pantas 30 – 80% dalam masa 35 minit (18kW)
  • Fungsi Vtol (kereta membekal tenaga elektrik) sebagai ciri asas
  • Skrin LCD berputar saiz 15.6 inci
  • Sistem audio premium Infinity
  • Balutan kulit vegan
  • Kerusi belakang dengan pisahan 60:40
  • Ruang but 552 liter, 1440 liter dengan kerusi dibaringkan
  • Rim aloi 19 inci
  • Mula ditawarkan pada suku kedua 2024

Google ads
Back to top button