" "
Pandu Uji

BYD SEALION 7, SUV ELEKTRIK TERBAIK 2025?

Walaupun Tesla merupakan satu jenama yang cukup popular bagi pasaran kereta Recond Elektrik (baca kereta terpakai), namun jenama BYD merupakan jenama kereta elektrik dengan harga yang jauh lebih mampu milik dan menukar status kereta elektrik bukanlah kereta yang mahal seperti yang disangka

Semuanya atas bantuan pelepasan cukai khas kerajaan bagi menggalakkan pembelian kereta elektrik di kalangan pemandu. Namun pengalaman memandu kereta elektrik yang pertama dibuat oleh penulis adalah dengan menggunakan BMW iX40

Jadi apabila memandu BYD Atto 3 pertama kali 2 tahun lepas, pengalaman pemanduan bagi penulis untuk kereta Atto 3 adalah sekadar “OK” bagi sebuah kereta elektrik mampu milik. Bagi penulis, BYD Atto 3 dirasakan terlalu pelik untuk rekaan kabin dan ruang dalaman

Serba sebi rasa tak kena dan ia mengetengah rekaan yang terlalu berunsurkan negara “China”. Penggunaan meter digital yang kecil, rekaan sisi pintu yang dihiasi tali gitar, hamparan papan pemuka yang berwarna cerah, dan corong penyaman udara yang pelik terasa agak asing sebenarnya

Apatah lagi digabungkan dengan suspensi yang terlalu lembut dan menyebabkan perjalanan di jalan raya biasa terasa membuai lebih berbanding dengan pesaingnya yang lain. Tapi pengenalan model lain seperti BYD Seal dan BYD Dolphin membuktikan yang rekaan mereka pada masa depan akan bertambah baik

Buktinya ialah dengan pengenalan SUV BYD Sealion dengan rekaan coupe hatchback yang nampak bergaya persis jenama mewah daripada Continental. Wolfgang Egger membuktikan dia adalah pakar dalam menghasilkan rekaan yang bermutu

Imej BYD yang ala-ala kereta China murahan ditukar kepada SUV Sport, terutama jika anda melihat model Sealion daripada sisi yang menampilkan rekaan hud depan yang panjang dan rendah. Bahagian perumah tayar juga kelihatan dominan, dan memberikan petunjuk kepada penulis kedudukan tayar sewaktu mengambil selekoh

Pekali geseran juga berjaya direndahkan kepada 0.28 hasil rekaan bumbung yang rendah di bahagian belakang, namun memanjang ke belakang untuk ruang dalaman yang lebih besar. Rim 20 inci dan dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport EV menawarkan kualiti pemanduan yang yang baik

Untuk rekaan belakang, BYD menampilkan lampu belakang dengan tema titisan air serta spoiler yang sporti bagi mengalirkan udara di bawah spoiler sebelum aliran udara melalui satu lagi lips. Tapi rekaan belakang BYD Sealion 7 boleh dikategorikan sebagai kemas, elegan dan sporti

BYD menggunakan platform papan luncur serba baru yang dikenali dengan nama e-Platform lengkap dengan ciri pengecasan pantas yang mampu menerima sehongga 150kW untuk sistem DCFC. Bateri LFP sebesar 82.56kWh ini menawarkan jarak perjalanan sehingga 456km untuk satu pengecasan penuh.

Ia mengambil masa sekitar 32 minit untuk mengecasa dari 10% ke 80% manakala sistem pengecasan Ac boleh menerima sehingga 11kW. Platform ini juga menawarkan ruang kargo yang besar, 500 liter secara tepat dan boleh dibesarkan menjadi 1769 liter apabila kusyen belakang dilipat

Ruang kargo depan pula adalah sebesar 58 liter, sudah cukup untuk meletakkan kabel pengecasan sekiranya perlu. Malah ruang kargo depan ini boleh memuatkan beg pakaian saiz kabin.

BYD memberikan falsafah rekaan baru bagi menghasilkan papan pemuka, kemasan dalaman yang lebih premium dan mahal bagi menggantikan rekaan kartun yang digunakan pada model Atto 3. Perubahan pertama yang disukai penulis ialah saiz meter digital menjadi lebih besar dan diintegrasikan dalam rekaan papan pemuka

Bukannya rekaan malas yang meletakkan sekeping meter digital di atas papan pemuka. Warna papan pemuka juga ditukar menjadi hitam serta menggabungkan bahan binaan lembut, kulit, fabrik seude, krom dan panel hitam berkilat pada bahagian sebelah kiri bagi memberikan sentuhan mewah dan moden

Paling menarik ialah bagaimana kemasan sisi pintu dibina dan diintegrasikan dengan kemas pada papan pemuka, satu konsep yang sama digunakan pada model seperti Audi.

BYD juga mengekalkan beberapa rekaan tradisional lain seperti tombol gear yang dihasilkan darupada kristal dan lengkap dengan lampu LED. Kelengkapan moden seperti kusyen elektrik dengan ciri pengudaraan, sistem pengecasan pantas 50w lengkap dengan ciri penyejukan dan 12 pembesar suara daripada jenama Dynaudio turut disertakan sebagai peralatan standard

BYD Sealion turut disertakan dengan beberapa ciri yang biasa ditemui pada kereta yang jauh lebih mahal seperti “intelligent lighting” yang menyala di bawah pintu dan cermin sisi setiap kali mengesan pemandu, cermin sisi yang tunduk ke bawah semasa gear mengundur dimasukkan, ciri child lock berpusat, key card dan pencuci cermin depan terbina dengan bilah pencuci cermin

Ciri lain seperti Apple Car Play, Android Auto tanpa wayar, USB pada ruang belakang yang disimpan kemas, perehat tangan, lampu kabin dengan suis sesentuh dan juga bumbung panaromic lengkap dengan tirai hitam turut disertakan

Berikut ialah rumusan penulis selepas memandu uji BYD Sealion 7 selama 3 hari

1. SUV Coupe ini dipasang dengan 2 motor elektrik dengan gabungan kuasa sekitar 523 kuasa kuda dan 690Nm tork. Padanan kuasa ini membolehkan Sealion 7 memecut dari 0-100km/jam dalam masa 4.5 saat dan mencapai halaju tertinggi 200km/jam

Angka pecutan yang ditawarkan ini adalah menyamai kereta sedan berkuasa tinggi seperti BMW M340i, Mercedes-AMG A45 dan juga Alfa 4C yang biasa dijual dengan harga 3 kali ganda lebih mahal. 4 Mode pemanduan iaitu ECO, Normal, Sport dan Individual akan mengubah tetapan cesi

2. Seperti biasa mode pemanduan akan mempengaruhi respon pedal, stering dan juga brek regeneratif. Dalam mode ECO, penulis berjaya mencatatkan bacaan sekitar 19kWh bagi setiap 100km menjadikan jarak pemanduan 434km bagi satu pengecasan penuh boleh dicapai

Mode Sport pula akan menjadikan stering lebih berat untuk kawalan stering yang lebih baik. Kekuatan brek regeneratif hanya boleh dikawal dalam 2 keadaan samaada Maksima atau Minima. Sayang sekali ciri brek regeneratif juga sepatutnya disediakan dalam 3 atau 4 pilihan beserta dengan paddleshifter

3. BYD Sealion juga menyediakan ciri Head Up Display bagi memudahkan pemandu menumpukan perhatian termasuklah memberi input sistem penunjuk arah serta amaran keselamatan seperti amaran titik buta

4. Penulis sering menetapkan stering dalam mode Sport bagi memberikan kawalan yang lebih baik, mungkin “steering feel” Sealion adalaj jauh lebih baik berbanding dengan Proton X90. Penulis hanya memerukan 1.3 pusingan sahaja untuk putaran maksimum ke kanan atau kiri, sama seperti Mercedes-AMG GLB

5. Semasa memandu uji, unit yang digunakan masih lagi baru. Jadi sistem brek masih lagi terasa agak lembut terutama bila peda ditekan. Namun sistem brek dengan cakera berliang dan ciri “cross drilled” masih mampu menghentikan SUV seberat 2750kg dengan tenang

6. Sistem suspensi menggunakan tetapan Double Wishbone pada roda depan dan Multi-Link pada roda belakang. Penyerap hentak Frequency Selective Damping yang digunakan adalah suspensi semi pasif, melaraskan kekerasan penyerap hentak berdasarkan keadaan jalan dengan menggunakan injap

Jalan yang berselekoh, injap dibuka kecil dan mengeraskan suspensi manakala injap akan dibuka luas apabila melalui permukaan jalan tidak rata. Kualiti dan ayunan Sealion adalah sangat stabil ketika di jalan lurus dan rasa membuai yang dialami oleh Atto 3 telah dihapuskan

Ketika melalui selekoh, respon cesi terasa sedikit keras manakala ketika melalui permukaan jalan tidak rata ia tidak terasa terlalu keras pada halaju 70-90km/jam di jalan kampung. Namun jika anda memandu laju melalui sambungan jalan dan permukaan jambatan, Sealion 7 seakan melompat dan menyebabkan perut anda terasa geli seperti menaiki roller coaster

Tapi di lebuh raya, memandu laju di selekoh memberikan keyakinan yang baik dan penulis tidak perlu menekan brek sebaliknya terus menekan pedal minyak rapat ke lantai. Pada halaju melebihi 140km/jam, barulah penulis terasa Sealion 7 berayun 2 kali apabila melalui permukaan jalan tidak rata

7. Dalam aspek ergonomik, suka penulis ketengahkan yang sudut stering, sudut pedal minyak dan brek telah dipasang dengan tepat bagi membolehkan anda memandu lama tanpa lesu. Cuma penulis kurang suka dengan rekaan kontur kusyen, menjadikan penulis seperti “duduk” di atas kusyen dan bukannya di dalam kusyen. Pada halaju 110km/jam, bacaan kadar kebisingan adalah sekitar 58dB

8. Dalam aspek keselamatan, BYD Sealion 7 dipasang dengan 12 sensor ultrasonic, 5 radar, dan 11 kamera bagi membantu sistem ADAS. Cuma sayang penulis lagi sukakan sistem lampu depan adaptif berbanding dengan ciri Auto High Beam Assist sahaja

9. Kelemahan – salah satu aspek yang menjadikan Sealion kurang menarik ialah berat SUV ini mencecah 250kg disebabkan berat bateri blade. Seperti yang sedia maklum, bateri LFP memiliki ketumpatan yang rendah dan 82.5kWh bateri memerlukan susunan bateri yang banyak dan berat

Cermin belakang adalah kecil disebabkan rekaan sloping roof Coupe. Sistem pemanduan Intelligent Cruise Control juga seperti kekok untuk digunakan dan tidak lancar. Sealion 7 juga tidak dapat memberikan keselesaan yang baik ketika melalui jalan kampung Sungkai ke Bidor

Dari segi kecekapan, penggunaan tenaga sekitar 19-20kWh bagi setiap 100km juga tidak dapat menandingi platform yang ditawarkan oleh Volvo/Geely. Namun bagi penulis, BYD Sealion adalah SUV elektrik yang bagus, di belakang Audi Q8 e-Tron yang menggunakan suspensi adaptif penuh

Tapi Sealion 7 dijual dengan harga jauh lebih murah iaitu separuh daripada harga Audi Q8 e-Tron dengan harga permulaan RM 184,000 dan RM 200,000 bagi varian premium. Harga ini merangkumi jaminan selama 6 tahun atau 150,000km serta jaminan 8 tahun (160,000km) bagi sistem trenkuasa

Kalau penulis perlukan sebuah SUV elektrik dengan harga yang berpatutan, BYD Sealion 7 adalah pilihan yang tepat. DAN INI BUKAN ARTIKEL BERBAYAR

Google ads
Back to top button