Artikel Pilihan

CABIN AWARENESS DARIPADA TOYOTA AKAN PASTIKAN TIADA KANAK-KANAK MAHU PUN HAIWAN PELIHARAAN TERTINGGAL DI DALAM KERETA

Toyota sedang giat berusaha untuk memperkenalkan konsep yang dinamakan Cabin Awareness. Sistem ini akan membantu pastikan tiada kanak-kanak dan binatang peliharaan yang tertingal di dalam kereta dengan menggunakan teknologi millimetre-wave radar untuk mengesan sebarang pengerakan dan sistem sambungan pintar untuk memaklumkan kepada pemilik.

Teknologi baharu ini sudah dihantar untuk mendapatkan paten hakmilik dan unit demo Toyota Sienna sudah mula dipamerkan. Ia juga bakal dilengkapkan pada model-model akan datang Toyota bagi mengelakkan kematian akibat strok haba. Memang sesuai sangat ni kalau diperkenalkan kat Malaysia. Buat masa sekarang Toyota menunjukkan sistem ini yang dilengkapkan pada model demo mereka iaitu sebuah Toyota Sienna.

Sistem ini merangkumi gelombang milimeter tunggal, radar dengan imej resolusi tinggi 4D Vayyar Imaging mampu mengesan manusia ataupun haiwan peliharaan di dalam kenderaan walaupun mereka sedang tertidur ataupun bersembunyi di bawah selimut.

Radar tersebut mampu mengesan sekecil-kecil gerakan seperti degupan jantung dan bunyi pernafasan pada ketiga barisan tempat duduk, bahagian simpanan barang dan kawasan letak kaki.

Bukan itu sahaja, berdasarkan ukuran saiz, postur tubuh dan posisi kedudukan penumpang, sistem ini mampu mengklasifikasi mereka sebagai orang dewasa, kanak-kanak ataupun haiwan peliharaan.

Toyota menyatakan yang milimeter-wave radar ini adalah penyelesaian yang lebih baik berbanding teknologi lain yang menggunakan sensor berat, kamera ataupun limited-range radar yang selalunya memberikan amaran yang kurang tepat.

Perkara paling menarik tentang sistem Cabin Awareness ini ialah ia menawarkan pelbagai jenis amaran jika ia mengesan manusia atau haiwan peliharaan di dalam kenderaan anda. Mula-mula mesej amaran akan dipaparkan pada skrin paparan dalaman sebelum ia membunyikan hon dan menyalakan lampu-lampu amaran secara berkelip-kelip.

Macam mana kalau pemandu sudah meninggalkan kenderaan dan begitu asyik dengan telefon pintar sampai lupa dunia? Senang je, sistem ini akan menghantar notifikasi ke peranti mereka menggunakan aplikasi Toyota ataupun menggunakan SMS memaklumkan mereka tentang penumpang tertinggal di dalam kereta.

Okey itu kalau pemandu membawa telefon mereka bersama. Macam mana kalau telefon tertinggal ataupun bateri kong? Jangan gabra, sistem Cabin Awareness boleh deprogram supaya menghubungi kontak kecemasan seperti pasangan ataupun saudara mara secara automatik semasa kecemasan. Malah ia juga boleh diprogramkan untuk menghantar notifikasi amaran ke peranti-peranti pintar di rumah anda. Jika semua langkah tersebut masih tidak berhasil terdapat juga pilihan sistem bantuan kecemasan yang akan menghubungkan Cabin Awareness dengan Toyota Safety Connect yang akan menghubungi pihak berkuasa seperti polis, bomba ataupun ambulan.

Sistem ini memang sangat canggih dan para jurutera Toyota yakin mereka akan mampu menyelamatkan nyawa menggunakan sistem komunikasi kenderaan ke kenderaan dan teknologi terkini.

Boleh kami cadangkan frasa amaran untuk mengingatkan ibu bapa yang cuai sehingga meninggalkan anak di dalam kereta? Senang je, hubungkan sistem ini dengan pembesar suara penggera kereta dan bila perlu keluar amaran rakaman suara Abang Japar yang berbunyi “WOI! ANAK KAU TERTINGGAL NI WOI!” berulang kali sehingga selesai.

Google ads
Back to top button