Buletin

CEO FORD MAHU JUAL KERETA ONLINE SAHAJA, TAKDE MAIN HARGA

Melihatkan kepada kecenderungan sesetengah pihak pengedar yang sengaja menaikkan harga jualan kenderaan, CEO Ford Jim Farley melihat keperluan untuk menjual kenderaan menerusi platform dalam talian sahaja pada masa akan datang.

Dengan cara ini, beliau melihat tidak akan berlaku perbezaan harga yang ketara di kalangan pengedar, selain mengelakkan pelanggan daripada terus dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Ini adalah sepatutnya perkara yang kami perlu buat dalam aspek peruncitan. Kita harus menawarkan harga yang tidak boleh dirunding. Kita perlu bertukar 100 peratus kepada perniagaan dalam talian. Tiada inventori, jadi kenderaan akan dihantar terus ke pelanggan.

“Saya fikir kebanyakan pengedar kami mampu melakukan perkara tersebut. Namun perubahan piawaian akan menjadi sangat drastik, ia akan menjadi satu perkara yang sangat berbeza berbanding apa yang kita tahu pada hari ini,” jelasnya lagi.

CEO Ford itu memuji amalan perniagaan Tesla dan pengeluar China di mana mereka hanya mengekalkan beberapa unit sahaja kenderaan di dalam inventori, dan menurut Ford langkah ini mampu menjimatkan lebih banyak wang.

Langkah ini tidak bermakna Ford akan terus mengabaikan rangkaian pengedar sedia ada.

Dengan merujuk kepada gergasi Target, Farley menjelaskan syarikat itu masih lagi mengekalkan fasiliti sedia ada untuk mengembangkan aspek khidmat pelanggan di dalam masa yang sama mereka menerapkan elemen digital untuk bersaing dengan Amazon.

Ini bermakna, jaringan pengedar Ford sedia ada masih lagi wujud pada masa akan datang untuk menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan, seperti pendekatan yang digunakan oleh Tesla di negara Norway. – Carscoops

Google ads
Back to top button