
CEO STELLANTIS MINTA EU KENAKAN TARIF LEBIH TINGGI KE ATAS PEMBUAT KERETA CHINA
Ketua Pegawai Eksekutif Stellantis, Carlos Tavares baru-baru ini meminta Kesatuan Eropah untuk meletakkan tarif lebih tinggi ke atas pembuat kereta China.
Tavares menegaskan bahawa pengeluar kereta China boleh menyusup masuk ke pasaran arus perdana kereta Eropah apabila menjual dengan kerugian pada mulanya untuk bertapak.
Pada masa ini, kereta yang dibina di Eropah perlu membayar kira-kira 15 peratus hingga 25 peratus tarif di China, berbanding tarif 10 peratus untuk kereta buatan China yang masuk ke Eropah.

Dengan langkah yang dibuat oleh BYD, NIO, MG, Polestar dan GWM, pembuat kereta China mula mencipta pasaran niche mereka sendiri di Eropah melalui kereta lebih murah yang dihasilkan di China.
BYD sedang melaksanakan langkah strategik dan melancarkan beberapa model kereta yang disasarkan ke pasaran Eropah. Baru-baru ini, pembuat kereta itu mengumumkan perjanjian untuk menjual 100,000 kenderaan elektrik kepada agensi penyewaan terkemuka Jerman, Sixt.
GWM pula bersedia untuk memperkenalkan barisan kereta Ora dan Wey di Eropah. Manakala NIO mengumumkan pilihan pembelian untuk pengguna di empat negara Eropah bermula pada 2023.

Menurut kumpulan alam sekitar, Pengangkutan dan Alam Sekitar, kereta China menyumbang 5 peratus daripada BEV yang dijual di Eropah pada 2022. Angka itu boleh meningkat kepada 18 peratus menjelang 2025.
Tavares juga menyebut perbincangannya dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang lantang mengenai desakan daripada pengeluar EV China dan Amerika di Eropah.
Macron menyeru pembaharuan dasar untuk melindungi pengeluar Eropah daripada persaingan yang semakin meningkat daripada syarikat China dan Amerika.
Walaupun rancangan untuk menaikkan tarif mungkin memihak kepada Eropah dalam jangka panjang, namun rancangan itu mungkin tidak berpihak kepada Jerman. Meskipun Jerman dan China mempunyai perbezaan ideologi, kedua-dua negara telah mendapat manfaat yang besar antara satu sama lain dalam industri automotif.
Pembuat kereta Jerman telah membuat pelaburan yang besar dalam usaha sama dengan sekutu China mereka. Misalnya seperti BMW dengan BBA, Daimler dengan BAIC dan usaha sama Volkswagen/SAIC, yang membina kilang Volkswagen di Urumqi, Xinjiang. Malah, pembuat kereta Jerman seperti BMW, Mercedes, dan Volkswagen menjual lebih banyak kereta di China berbanding mana-mana pasaran yang lain.
Biar apa pun langkah Kesatuan Eropah, pastinya mereka akan cuba untuk tidak membawa kesan negatif kepada jenama Eropah di Asia. Mereka pasti akan mengambil pendekatan berhati-hati dengan perkara ini.







