
STELLANTIS DAN TEACH FOR MALAYSIA BERGANDING BAHU PERKASA KUALITI PENDIDIKAN NEGARA
Sebagai salah satu peneraju industri automotif global, Stellantis mengambil langkah proaktif dalam menyokong pendidikan berkualiti di Malaysia menerusi kerjasama dengan Teach For Malaysia (TFM).
Inisiatif baharu mereka, “EduPower for Quality Education”, dirangka khusus untuk memberi manfaat kepada komuniti kurang mendapat perkhidmatan, termasuk keluarga B40, Orang Asli, dan Orang Asal di Selangor, Perak, dan Sarawak.
Cabaran Pendidikan di Malaysia
Di Malaysia, isu ketidaksamarataan pendidikan masih membelenggu masyarakat. Statistik menunjukkan bahawa satu daripada lima remaja tidak menamatkan pendidikan sekolah menengah, sementara 58 peratus pelajar berusia 15 tahun gagal mencapai tahap minimum kecekapan membaca.

Lebih membimbangkan, sebahagian besar pelajar di sekolah berprestasi rendah berasal daripada keluarga yang bergelut dengan kesukaran ekonomi, sekaligus menyukarkan mereka mendapatkan bahan pembelajaran asas seperti buku teks atau kalkulator.
Selain itu, sekolah luar bandar sering mengalami kekurangan tenaga pengajar berkualiti. Guru di kawasan ini bukan sahaja berdepan beban kerja pentadbiran yang berat, tetapi juga kurang mendapat latihan profesional bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran mereka.
Inisiatif Stellantis dan Teach For Malaysia
Sebagai langkah menangani isu ini, Stellantis bakal menyalurkan sokongan kepada Program TFM 2 Tahun yang bertujuan membangunkan kapasiti pengajaran berkualiti.

Seramai 90 individu berbakat akan dilatih sebagai rakan guru, dikenali sebagai TFM Fellows, yang akan ditempatkan di sekolah-sekolah berkeperluan tinggi di tiga negeri utama.
Misi mereka adalah untuk membantu meningkatkan literasi dan numerasi di kalangan 19,950 pelajar berumur antara tujuh hingga 17 tahun.
Lebih daripada sekadar mengajar di dalam bilik darjah, program ini juga akan memperkasakan kepimpinan pelajar menerusi Majlis Penasihat Pemimpin Pelajar yang bakal diwujudkan.
Melalui inisiatif ini, pelajar berpeluang membina keyakinan, menerima bimbingan, serta mengembangkan rangkaian hubungan dengan pihak industri dan tenaga pengajar profesional.