Buletin

INDONESIA RANCANG NAIKKAN HARGA BAHAN API, KAWAL SUBSIDI YANG MELONJAK

Indonesia merancang untuk menaikkan harga bahan api untuk mengawal subsidi tenaga yang kian melonjak. Kenaikan harga itu lengkap dengan peraturan penjualan bahan api bersubsidi yang akan dikeluarkan pada bulan ini.

Firma tenaga Pertamina yang menjual bahan api bersubsidi bagaimanapun enggan mengulas, sambil menegaskan bahawa dasar harga bahan api adalah domain kerajaan.

Indonesia telah meningkatkan tiga kali ganda bajet subsidi tenaga kepada AS$34.06 bilion (RM155 bilion) tahun ini demi mengekalkan harga petrol bersubsidi dan diesel, di samping beberapa tarif ketika harga tenaga global terus naik.

Minggu lalu, pegawai kementerian kewangan Indonesia berkata jumlah itu mungkin tidak mencukupi berikutan peningkatan permintaan bahan api.

Menurut Pertamina, setakat Julai ia telah menjual 9.9 juta kiloliter diesel bersubsidi, kira-kira dua pertiga daripada jumlah kuota bagi tahun itu, manakala jualan petrol bersubsidi mencecah 16.8 juta kiloliter, atau 73% daripada kuota 2022.

Presiden Joko Widodo, dalam penampilan umum baru-baru ini menyatakan peruntukan subsidi tenaga tahun ini terlalu besar, tetapi tidak merujuk kepada sebarang rancangan untuk menaikkan harga bahan api.

Bank pusat republik berkenaan berkata bajet subsidi yang besar telah membantu ekonomi terbesar Asia Tenggara itu untuk mengekalkan inflasi secara relatifnya rendah pada tahun ini. Ini memberi ruang kepada pembuat dasar monetari untuk menangguhkan kenaikan kadar faedah.

Said Abdullah, ahli senior parti politik Parti Demokrasi Indonesia – Perjuangan (PDI-P), memberitahu Reuters harga bahan api perlu dinaikkan dua kali tahun ini untuk menguruskan beban fiskal yang semakin meningkat dan mencadangkan kenaikan pertama dibuat pada akhir Ogos.

Google ads
"
"
Back to top button