
TEMPAHAN LAMBORGHINI TEMERARIO KINI DIBUKA, HARGA BERMULA RM1,350,000
Lamborghini Kuala Lumpur telah melancarkan secara rasmi Temerario, model kedua dalam barisan High Performance Electrified Vehicle (HPEV) selepas Revuelto dan SUV Urus SE.
Supercar hibrid plug-in ini menandakan lengkapnya peralihan Lamborghini ke arah elektrifikasi penuh.
Dikuasakan oleh enjin V8 biturbo 4.0L baharu bersama tiga motor elektrik, Temerario menghasilkan kuasa keseluruhan 920 CV dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 2.7 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 343 km/j.
Enjin ini mampu berputar hingga 10,000rpm, memberikan sensasi pemanduan bertenaga dan linear.

Menampilkan casis aluminium baharu yang lebih tegar, Temerario bukan sahaja cemerlang di litar tetapi juga selesa untuk kegunaan harian.
Ruang kabin lebih luas berbanding Huracán, dengan tempat duduk ergonomik, paparan digital 12.3-inci dan sistem infotainmen Lamborghini Vision Unit.
Reka bentuk luaran kekal setia pada DNA Lamborghini dengan elemen heksagon tersendiri dan lampu hadapan DRL unik.
Setiap bahagian badan direka untuk meningkatkan aliran udara dan penyejukan, menjadikannya 103% lebih berkesan dari segi daya tekan ke bawah (downforce) berbanding Huracán EVO – malah hingga 158% dengan pakej Alleggerita (ringan).

Sistem brek baharu pula memberikan penyejukan 50% lebih baik kepada angkup dan 20% pada cakera brek.
Terdapat 13 mod pemanduan termasuk mod baharu seperti Recharge, Hybrid dan Performance, semuanya boleh diakses melalui pemutar di stereng. Bridgestone membekalkan tayar khas Potenza Sport dan Potenza Race untuk prestasi maksimum sepanjang tahun.
Lamborghini Temerario kini dibuka untuk tempahan di Malaysia melalui Lamborghini Kuala Lumpur, dengan harga permulaan RM1,350,000 (sebelum cukai, duti dan pilihan penyesuaian).
Pelanggan juga boleh memilih lebih 400 warna melalui program Ad Personam serta pilihan Alleggerita untuk pengurangan berat lebih 25 kg.
GALERI:


















