
CHERY OMODA E5 TERIMA PENSIJILAN SIRIM UNTUK BATERI KENDERAAN ELEKTRIK
Chery Malaysia telah berjaya memperoleh pensijilan SIRIM untuk Bateri Kenderaan Elektrik (EV) – Lithium Battery Pack, menjadikannya jenama automotif pertama di Malaysia meraih pencapaian ini.
Pengiktirafan daripada SIRIM QAS International, badan pensijilan, pemeriksaan, dan ujian utama di Malaysia, membuktikan komitmen Chery terhadap kualiti serta pematuhan kepada standard keselamatan.
Langkah ini menonjolkan dedikasi Chery dalam menyediakan penyelesaian mobiliti mampan, memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam industri kenderaan elektrik, dan menyokong usaha kelestarian alam sekitar tempatan melalui inisiatif ESG (Environmental, Social, Governance).
Bateri EV Chery telah melalui ujian ketat di China mengikut piawaian UN R100, memastikan pematuhan kepada standard keselamatan dan prestasi antarabangsa dari segi kebolehpercayaan, kecekapan, serta ketahanan.

Pensijilan ini juga membawa makna besar kepada rakyat Malaysia kerana ia memastikan bahawa kenderaan elektrik Chery dilengkapi dengan bateri EV memenuhi standard keselamatan dan kualiti yang ketat.
Selain itu, ia sekaligus memberikan keyakinan tambahan kepada pengguna tempatan bahawa pelaburan mereka dalam kenderaan ini bukan sahaja inovatif tetapi juga selamat dan boleh dipercayai.
Ketika ini, satu-satunya kenderaan elektrik sepenuhnya yang ditawarkan oleh Chery di Malaysia ialah OMODA E5, dengan harga RM146,800.
OMODA E5 dilengkapi dengan bateri lithium-ion fosfat blade berkapasiti tinggi 61kWh, menawarkan jarak pemanduan sehingga 430km (mengikut WLTP).
SUV ini menghasilkan kuasa 201hp dengan tork 340Nm, memberikan prestasi mantap dan pengalaman pemanduan elektrik yang cemerlang.
Pada Oktober lalu, Chery meraikan unit Completely Knocked Down (CKD) pertama OMODA E5 dari kilang produksinya di Inokom Plant, Kulim, Kedah.
Tambahan pula, model ini telah menerima penarafan keselamatan lima bintang daripada Euro NCAP dan ANCAP, membuktikan tahap keselamatannya yang unggul.
Perkembangan berkaitan, Chery Malaysia turut merancang untuk mendapatkan pensijilan SIRIM untuk bateri kenderaan elektrik bagi model-model akan datang yang bakal diperkenalkan di pasaran tempatan.
Sebagai sebahagian daripada visinya, Chery bercadang memperluaskan rangkaian kenderaan elektriknya di Malaysia, termasuk pengenalan kenderaan plug-in hybrid (PHEV) pada tahun hadapan.
- BACA: PERMINTAAN MENINGKAT, ETCM LANJUT PROMOSI EARLY BIRD UNTUK NISSAN KICKS e-POWER
- BACA: CFMOTO 750SR-R DIDEDAHKAN – ENJIN 4-SILINDER, 110HP
- BACA: SUZUKI SWIFT SPORTS PULA MUNCUL DENGAN FINAL EDITION – EDISI AKHIR ZC33S
- BACA: BARISAN PEMANDU M-SPORT FORD DIUMUM – GREGOIRE MUNSTER DAN JOSH McERLEAN SAHIH PANDU FORD PUMA RALLY1 MUSIM WRC 2025