Buletin

CHERY OMODA E5 DIPERKENALKAN, BAKAL LANCAR TAHUN DEPAN – 201HP, JARAK GERAK 450KM

Selepas sukses dengan pengenalan SUV Omoda 5 pada Julai 2023, kini Chery Malaysia memperkenalkan pula versi elektrik yang dikenali sebagai Omoda E5.

Dipertontonkan buat pertama kali kepada media di Malaysia, EV tersebut dijangka dilancarkan pada Mac tahun hadapan.

Menurut Chery Malaysia dan seperti amalan biasa OEM lain, beberapa unit terawal Omoda E5 akan didatangkan dalam bentuk import sepenuhnya (CBU).

Omoda E5 didatangkan dengan bahasa rekaan ‘interstellar shuttle design’ termasuk rekaan gril hadapan kosong, rim bersaiz 18-inci, tuil gear tidak diletakkan di tengah tetapi ditempatkan pada stereng.

Perincian lain termasuklah dibekalkan dengan ruang simpanan barang yang lebih besar berbanding Omoda 5.

Selain itu, Omoda E5 turut membawakan skrin Ultra Clear bersaiz 24.6-inci yang dikuasakan oleh sistem cip (SoC) Qualcomm 8155 dengan resolusi 1920×720 dan dikemaskan lagi melalui upholsteri kulit berwarna hitam untuk tempat duduk.

Beralih kepada kuasa, Omoda E5 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda depan, berupaya menghasilkan 201hp dan 340Nm.

Melalui pek bateri berkapasiti 61 kWh, ia menawarkan jarak gerak sehingga 450km dan boleh dicas 20-80 peratus, mengambil masa sekitar 35 minit menggunakan pengecasan pantas DC 80kW.

Dari segi ciri-ciri, ia akan dilengkapi dengan sistem ADAS, merangkumi 16 fungsi, antaranya Blind Spot Monitoring, Autonomous Emergency Braking, dan Rear Cross Traffic Alert.

Sudah tentu, jika ia didatangkan dengan harga kompetitif, pastinya memberi persaingan kepada jenama seperti BYD Atto 3 selain, menawarkan lebih banyak pilihan untuk pengguna di Malaysia.

GALERI:

Google ads
Back to top button